25 C
Kota Kinabalu
Khamis, Jun 20, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Dua remaja carut guru lepas selesai SPM didakwa di mahkamah

MEREKA mengaku bersalah lepas pertuduhan dibacakan namun hukuman belum ditetapkan kerana majistret menunggu laporan akhlak tertuduh.

Selepas imej mereka bermotosikal sambil mengenakan baju sekolah yang diconteng dengan perkataan mencarut guru, hari ini dua remaja sekali lagi menjadi perhatian ramai.

Kedua-dua remaja yang baru menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan.

Berdepan dengan majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri, kedua-dua tertuduh yang berusia 17 tahun itu kemudian mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Pendakwaan dilakukan timbalan pendakwa raya S Gayathri manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Malaysia, Nik Nazriani Nik Abd Rahman.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua remaja terbabit memakai baju yang mempunyai tulisan bermaksud menghina atau lucah sehingga mengganggu keamanan setempat.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bulatan Chempaka, Kota Bharu, kira-kira jam 4 petang pada 3 Mac lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan boleh dihukum mengikut akta yang sama.

Sementara itu Mohd Izuddin menetapkan kedua-dua tertuduh dijamin RM100 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Kes berkenaan akan disebut semula pada 22 Jun bagi menunggu laporan akhlak tertuduh disiapkan.

Sebelum ini tular di media sosial gambar dua remaja menunggang dan membonceng motosikal dengan memakai baju sekolah dengan tulisan menghina guru.

Ia berlaku pada hari terakhir mereka menduduki peperiksaan SPM.- MalaysiaKini

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN