KUCHING: Sarawak merekodkan dua lagi kematian akibat COVID-19, menjadikan jumlah mangsa terkorban akibat wabak itu di negeri ini seramai tiga orang.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas ketika mengesahkan perkara itu berkata dua mangsa adalah ibu dan anak perempuan masing-masing berusia 79 dan 40 tahun.
Beliau berkata, mangsa berusia 79 tahun meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta pada jam 2 pagi, 18 Mac lalu manakala anaknya meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada jam 1 tengah hari tadi.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam sidang media petang tadi menjelaskan satu lagi kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan sejak malam tadi, menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat penularan wabak itu sebanyak empat kes.
Beliau berkata kematian keempat itu membabitkan kes ke-238, lelaki warga Malaysia berusia 50 tahun daripada kluster jemaah tabligh.
Katanya, mangsa dimasukkan ke Hospital Melaka pada 12 Mac dengan gejala Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI).
Sumber: Berita Harian