SERAH…. Ustaz Md. Fadzli (dua kanan) menyerahkan bantuan kewangan kepada wakil KAFA Masjid Jamek Adam Kampung Lajau, Mohd Noor.
LABUAN: Dua buah Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di sini menerima bantuan berupa kewangan berjumlah RM17,000 sumbangan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan.
Dua buah KAFA yang menerima bantuan di bawah Skim Bantuan Aktiviti Dakwah dan Kebajikan (Institusi Pendidikan) itu ialah KAFA Perumahan LDA Kampung Sungai Bedaun menerima sebanyak RM10,000 dan KAFA Masjid Jamek Adam Kampung Lajau menerima RM7,000.
Majlis penyerahan secara simbolik bantuan tersebut disampaikan oleh Pengurus MAIWP Labuan, Ustaz Md Fadzli Md Saad masing masing kepada Ketua Guru KAFA Perumahan LDA Labuan, Puan Nur Izzah Nasrullah. Manakala KAFA Masjid Jamek Adam Kampung Lajau diwakili oleh Penyelianya, Mohd Noor Mukadim.
Ustaz Md Fadzli ketika ditemui media berkata, bantuan tersebut bertujuan untuk membantu pembelian peralatan kelengkapan tambahan kelas yang tidak mencukupi seperti papan putih, kerusi, meja termasuk penggantian kelengkapan kelas yang telah uzur atau rosak.
“Semoga dengan bantuan ini dapat memudahkan dan memberi menfaat serta keselesaan kepada pelajar KAFA Taman Perumahan LDA dan juga KAFA Masjid Adam Kampung Lajau secara berterusan “katanya.
MAIWP juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada pembayar zakat yang sentiasa membayar zakat melalui Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan.
Sementara itu, Ustaz Md Fadzli menjelaskan, Kelas KAFA Perumahan LDA Kampung Sungai Bedaun mempunyai 75 orang murid dan 2 orang guru manakala kelas KAFA Masjid Adam Kampung Lajau mempunyai 73 orang murid dan 3 orang guru.
Turut hadir, pegawai Cawangan Pelajaran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan, Us. Radzizam Awang Damit.



