JUARA….Jais (kanan) bersama pemain DSBC yang muncul naib juara Pertandingan Sukan Integrasi Orang Kurang Upaya dan Komuniti Labuan 2021.
LABUAN: Pasukan DSBC muncul naib juara Pertandingan Sukan Integrasi Orang Kurang Upaya dan Komuniti Labuan anjuran Jabatan Belia dan Sukan (JBS) dengan kerjasama Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya (PESRON) Wilayah Persekutuan Labuan di Dewan Kompleks Sukan Labuan pada Sabtu lalu.
Pasukan DSBC diwakili oleh enam pemain iaitu Mantoi Tunjung, Kenny Tan Bing Chuan, Awang Ahmad Liasmat, Annabel Aurelia Donald (atlet OKU pendengaran), Stephanie Huang Lee Ling dan Evy Teo Ei Hui.
Menurut pengurus pasukan, Jais Wong pasukan DSBC merupakan johan kumpulan A yang melayakkan mereka mara ke final.
“Pasukan DSBC mengumpul 7 mata, dua kali menang dan satu kali seri,”katanya yang juga jurulatih pasukan DSBC.
Pemilik DSBC, Dato’ Sri Goh Sin Han berasa bangga dengan kejayaan anak buahnya muncul naib juara kejohanan tersebut.
Beliau mengucapkan tahniah kepada semua pemain yang telah menunjukkan aksi dan prestasi yang terbaik.
“Pemain DSBC akan terus menjalani latihan intensif di Dewan DSBC di Kampung Sungai Keling untuk menghadapi pertandingan di dalam dan luar Labuan pada tahun ini,”katanya.
Pada pertandingan itu, Team Amin merangkul gelaran juara.
Beraksi cemerlang pada pusingan akhir, bergu Lelaki Team Amin dibarisi Mohd Amin Burhanuddin dan pasangan Hazami Othman menewaskan dua pemain veteran pasukan DSBC, Mantoi Tunjung dan Kenny Tan 21-8, 21-16.
Regu Campuran Team Amin, Sahbudin Burhanuddin dan Nurul Natasha Salleh bergelar juara setelah menundukkan pasangan DSBC; Awg Ahmad Liasmat dan Annabel Aurelia Donald dengan kemenangan straight set 21-6, 21-15.
Pertandingan yang berlangsung selama sehari itu turut menyaksikan pasukan Black Maria dan Terbaik Team terpaksa akur tempat ketiga bersama setelah tewas dalam pusingan separuh akhir.
Sejumlah 8 pasukan menyertai pertandingan tersebut, terdiri daripada 6 pemain bagi setiap pasukan termasuk seorang pemain golongan kurang upaya dan seorang pemain lelaki veteran berumur sekurang-kurang 45 tahun ke atas.