30.5 C
Kota Kinabalu
Selasa, Mei 20, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Dr. Joachim ingatkan agensi, PBT percepat penyelesaian aduan

Dr. Joachim (lima dari kiri) bersama tetamu kehormat yang hadir turut mendendangkan lagu Hari Raya dalam majlis tu.

KOTA KINABALU, 28 April, 2025: Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam mengingatkan semua agensi di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya mempercepatkan penyelesaian aduan rakyat, selaras dengan peranan mereka sebagai penyampai perkhidmatan kerajaan di peringkat akar umbi.

Beliau yang juga Menteri KKTP berkata, sebarang isu yang boleh diselesaikan secara terus perlu ditangani dengan kadar segera tanpa menunggu arahan lanjut, demi memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

“Saya ingin mengingatkan semua untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada stakeholder kita di luar sana. Pastikan aduan dan permasalahan yang berkaitan skop, peranan dan bidang tugas kita diselesaikan sebaik mungkin,” katanya ketika berucap pada Majlis Hari Raya Aidilfitri dan Kaamatan anjuran KKTP di Lobi Wisma Innoprise di sini, hari ini.

Dr. Joachim berkata, baru-baru ini Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah telah berlangsung dan menjadi medan untuk melaksanakan ‘check and balance’ terhadap pelaksanaan fungsi serta tanggungjawab kementerian, agensi dan PBT.

Katanya, sidang berkenaan turut menjadi platform penting untuk mendapatkan maklumat berhubung isu-isu semasa yang berlaku di lapangan, justeru adalah penting untuk setiap pegawai melaksanakan tugas dengan cekap dan berintegriti.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua warga kerja KKTP, agensi di bawah kementerian serta PBT atas komitmen dan dedikasi mereka dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Tugas kita dinilai rakyat. Setiap tindakan dan keputusan perlu mencerminkan integriti, ketulusan dan profesionalisme yang tinggi sebagai penjawat awam,” katanya.

Dr. Joachim juga mengingatkan bahawa kejayaan kementerian bukan bergantung kepada seorang individu, sebaliknya hasil kerjasama dan usaha semua pihak yang terlibat.

Pada majlis itu, lebih 500 warga KKTP, agensi dan PBT hadir memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Kaamatan yang disambut bersama dalam suasana penuh muhibah.

Turut hadir Pembantu Menteri KKTP, Datuk Isnin Aliasnih; Pengerusi dan Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Datuk Masiung Banah dan Datuk Rosemary Ahping; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr. Jamili Nais; Pengerusi Sabah Softwoods Berhad, Datuk Mohd Arsad Bistari; Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri; Datuk Dr. Roland Chia; Timbalan Setiausaha Tetap I KKTP, Tpr. Stanley Chong; Timbalan Setiausaha Tetap II selaku Pengerusi Penganjur majlis, Faridah Giau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN