BINCANG…Joachim (tengah) bersama Fauziah berbincang mengenai produk IKS Sabah
LABUAN:Dewan Perniagaan Usahawan Sabah (DPUS) melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian Negeri Sabah (MID) telah menjalinkan kerjasama dengan Fasarina Express Mart Labuan bagi membolehkan produk Industri Kecil Sederhana (IKS) dari Sabah dapat dipasarkan di pulau bebas cukai ini.
Timbalan Ketua Menteri Sabah Sabah, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, lebih banyak produk-produk IKS Sabah boleh didapati di Labuan yang akan dipasarkan oleh Fasarina Express Mart.
Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah berkata jalinanan kerjasama antara kedua-dua pihak itu selaras dengan usaha Kerajaan Negeri Sabah untuk memperhebat lagi promosi dan pemasaran produk IKS Sabah menerusi Kempen Belilah Barangan Buatan Sabah dengan slogan “Belilah Barangan Buatan Sabah, Mantap Bah Ini Gaman”.
“Semoga objektif program ini tercapai dan seterusnya memberi impak kepada usahawan IKS termasuk pembangunan ekonomi di negeri Sabah dan juga Labuan dan saya juga yakin rakyat di pulau ini akan menyambut baik pelaksanaan kerjsama ini” katanya pada sidang media selepas meninjau premis Fasarina Express Mart di Jalan Patau-Patau, dekat sini pada Jumaat.
Menurut Joachim lagi, kempen ini merupakan salah satu inisiatif MID di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021-2025.
Sempena lawatan itu, Joachim turut berterima kasih dengan Pengarah Urusan Fasarina Express Mart, Hajah Fauziah Datuk Mohd Din yang memberikan peluang kepada produk usahawan IKS Sabah dipasarkan di pulau ini.
Joachim berkata, kementeriannya melalui Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) juga akan menandatangani dua memorandum persefahaman (MOU) dengan dua pasaraya di semenajung masing-masing pasaraya GM Klang Wholesale City dan Segi Cash & Carry Sdn Bhd
“Program ini akan memasarkan produk usahawan IKS Sabah ke pasaraya di Semenanjung Malaysia. Saya juga difahamkan, Pasaraya Segi Cash & Carry Sdn. Bhd adalah sebuah pasaraya tempatan yang mempunyai 56 cawangan di seluruh negeri di Selangor dan juga Perak,” katanya.
Beliau berharap dengan terlaksananya program inni, penduduk asal dari Sabah yang menetap di Labuan dan Semenanjung Malaysia akan dapat melepaskan kerinduan kepada makanan asli tempatan Sabah seperti ikan tausi, sambal tuhau, sambal bambangan, pes soto dan pelbagai lagi makanan tempatan yang diusahakan oleh usahawan IKS Sabah.
“Saya sangat mengalu-alukan kerjasama ini kerana dengan cara ini Kementerian dapat membantu menaiktaraf sosio-ekonomi dan meningkatkan hasil eksport negeri Sabah,” katanya.
Turut hadir ialah Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Mohd. Tamin Zainal, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian, Benedick Bisoni, Pengarah Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) Sabah, Tseu Kei Yue, Presiden Persatuan Dewan Perniagaan Usahawan Sabah (DPUS) Anita Mohamed serta beberapa pegawai Kementerian.



