25 C
Kota Kinabalu
Khamis, Mac 12, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Didik Anak Dari Awal – Redonah

Kenangan…..Redonah bergambar kenangan bersama kanak-kanak prasekolah.

KOTA MARUDU: 16 Julai – “Melentur buluh biarlah dari rebungnya.” Itulah pesanan Datuk Redonah Bahanda, Ketua Wanita Gagasan Rakyat Sabah ketika merasmikan Karnival Kecemerlangan Pendidikan Murid Prasekolah Peringkat Daerah Kota Marudu di SK Ranau, Kota Marudu semalam.

Menurut beliau, pendidikan prasekolah adalah fasa paling penting dalam membentuk sahsiah, disiplin dan nilai murni dalam diri anak-anak sebelum melangkah ke alam persekolahan sebenar.

“Di sinilah anak-anak belajar mengenal huruf, memahami peraturan, membentuk keyakinan diri dan kemahiran sosial. Ia bukan sekadar tempat bermain atau ‘menjaga’ anak sebelum masuk darjah satu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Karnival Kecemerlangan Pendidikan Murid Prasekolah Peringkat Daerah Kota Marudu di SK Ranau, semalam.

Redonah yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah berkata, pelaksanaan karnival seperti ini mampu menyerlahkan bakat murid dan mengeratkan hubungan antara guru, ibu bapa dan komuniti setempat.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Pejabat Pendidikan Daerah Kota Marudu, warga SK Ranau, serta guru-guru prasekolah atas usaha menjayakan program berkenaan yang berlangsung meriah dan penuh warna-warni.

Dalam ucapannya, Redonah turut menyentuh pelbagai cabaran yang dihadapi dalam pendidikan awal seperti kebergantungan anak kepada ibu bapa, pengaruh gajet, dan kekurangan kemudahan pembelajaran.

“Mendidik anak kecil memang bukan tugas mudah. Tapi jika kita sabar, berdisiplin dan sentiasa menambah ilmu, cabaran ini boleh diatasi. Anak-anak ini adalah amanah dan harapan kita semua,” katanya.

Beliau turut menyatakan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa sektor pendidikan menerusi pelbagai bantuan seperti BAGUS, BISBAH, BALKIS dan BANTU di bawah dasar Sabah Maju Jaya (SMJ).

Redonah turut menyebut inisiatif kerajaan Persekutuan seperti pendidikan prasekolah percuma, Bantuan Makanan Prasekolah (BMP), serta kurikulum berstruktur yang mengutamakan pembelajaran secara bermain.

“SK Ranau sendiri antara sekolah yang menerima naik taraf dengan pembinaan bilik darjah prasekolah baharu. Ini bukti komitmen kerajaan dalam menyediakan pendidikan berkualiti sejak awal,” katanya.

Beliau sempat menyampaikan pesanan istimewa kepada murid prasekolah agar terus rajin belajar, dengar cakap cikgu, hormat ibu bapa dan tidak leka dengan gajet.

Pada majlis itu, Redonah turut menyampaikan hadiah kepada murid-murid yang memenangi pelbagai pertandingan sepanjang karnival berlangsung.

“Tahniah kepada yang menang, dan kepada yang belum berjaya, teruskan usaha. Kejayaan pasti akan datang jika tidak berputus asa,” katanya.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran guru-guru besar, pegawai pendidikan daerah, serta ibu bapa yang memberikan sokongan padu kepada anak-anak kecil mereka.

Hadir sama Jovita Sabut, Penolong Pegawai Pendidikan, Unit Rendah, Sektor Pengurusan Sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Marudu, Rinamunirah Nasir, Penolong Kanan Pentadbiran mewakili Guru Besar SK Ranau serta ibu bapa dan murid-murid prasekolah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN