Denisha
OLEH: VITALIS G. BINGKASAN
SUBANG JAYA: Satu pingat emas dan dua perak dari skuad olahraga menambahkan sinar pingat Sabah pada SUKMA XXII Selangor hari ini (Isnin).
Pingat emas olahraga dimenangi Nur Denisha Shazliatie dalam acara 3000m berhalangan wanita dengan catatan 12:29.300s.
Acara itu menyaksikan kemenangan satu-dua buat Sabah apabila pingat perak juga dimenanginya menerusi Ledia Engku (12:36.980s) manakala pingat gangsa milik Syarafana Azli (Wilayah Persekutuan: 12:47.500s).
Satu lagi pingat perak dimenangi pasukan 4x100m lelaki yang dibarisi Mohammad Azri, Carlson Camilus, Pangiran Aidil Auf dan Airiel Amani dengan catatan 39.880s. Pingat emas dimenangi pasukan Johor (39.460s) manakala gangsa milik Selangor (40.290s).
Di gelanggang lain Sabah juga menang dua emas acara menembak dan satu emas acara memanah.
Empat emas dan dua perak yang dimenangi hari ini menjadikan kutipan keseluruhan kutipan pingat setakat petang ini (Isnin) kepada tujuh emas, tujuh perak dan empat gangsa.
Sambil itu, Terengganu memintas tuan rumah Selangor di kedudukan teratas dengan 13 emas, 20 perak dan tujuh gangsa.
Selangor ditangga kedua dengan 13 emas, 14 perak dan sembilan gangsa manakala Johor di kedudukan ketiga dengan 10 emas, 12 perak dan 10 gangsa.
SUKMA XXII Selangor 2026 yang dirasmikan pada Sabtu lalu akan berlangsung sehingga 24 Ogos.
Ia disertai lebih 5000 atlet dari 15 pasukan dengan tawaran 468 pingat emas dari 37 jenis sukan yang dipertandingkan.
Sabah mensasarkan 40 pingat emas dari 36 sukan yang disertai.



