Covid 19- Masyarakat Tawau digesa jangan panik

Covid 19- Masyarakat Tawau digesa jangan panik

12/03/2020 0 By Admin

TAWAU: Masyarakat daerah ini digesa agar jangan panik dan risau dengan melakukan pembelian panik barang-barangan keperluan dan dapur berikutan laporan tentang penularan wabak penyakit virus covid19 yang telah memasuki Tawau.

Gesaan dibuat Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew, merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan & Alam Sekitar, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tawau, menyatakan bahawa keadaan setakat ini adalah terkawal dan langkah-langkah pencegahan dan kawalan telah dilakukan oleh pegawai-pegawai Jabatan Kesihatan.

Liew memaklumkan perkara ini setelah menerima maklumat dan perkembangan terkini berkenaan tindakan pihak Jabatan Kesihatan dan pihak Hospital Tawau yang telah mengaktifkan “Fever Centre” di Hospital Besar Tawau.

“Berkenaan peserta dari Tawau seramai 350 orang yang menyertai perjumpaan program keagamaan di Petaling Jaya baru-baru ini, setakat hari ini sebilangan besar daripada mereka telah melakukan proses pemeriksaan saringan dan selebihnya sedang dikesan oleh pihak Jabatan Kesihatan.

“Sungguh pun seorang peserta telah didapati positif terkena jangkitan virus covid19, langkah kuarantin serta merta telah diambil oleh pihak Hospital Besar Tawau,” katanya.

Beliau juga memuji tindakan Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Datuk Ir Amrullah yang telah menunda program Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau 2020 yang dijadualkan berlangsung pada 21Mac depan sebagai satu langkah yang bijak dan berhati-hati agar wabak ini tidak menular terhadap penduduk Tawau.

Dalam pada itu, Beliau juga meminta kepada orang ramai khususnya netizen agar tidak menyampaikan maklumat- maklumat palsu di dalam media sosial yang boleh mengakibatkan keadaan panik.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, saya sarankan agar masyarakat Tawau mengurangkan aktiviti diluar dan sentiasa memakai topeng mulut ketika berada di kawasan umum, menyediakan “hand sanitizer” atau sentiasa membasuh tangan dengan sabun.

“Elakkan juga bersalaman buat sementara waktu ketika menghadiri program yang dikunjungi orang ramai, memadai dengan hanya meletakkan tangan pada dada dan tunduk sebagai tanda hormat seperti yang disarankan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. -TAMAT-