Datuk Fredian Gan, Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah (PBS)
KOTA KINABALU: Rakyat Sabah diminta sentiasa cakna terhadap isu tuntutan 40 peratus dan terus menyokong usaha kerajaan dalam mempertahankan hak negeri di dalam Perjanjian Malaysia (MA63).
Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Fredian Gan berkata, pendirian tegas Ketua Menteri terhadap isu dilihat tetap tidak berganjak dan konsisten dalam perihal tuntutan terhadap pihak persekutuan.
“Kenyataan media rasmi oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang telah dikeluarkan pada 17 Mei lalu adalah diharapkan dapat meleraikan kekeliruan rakyat mengenai pendirian kerajaan yang tidak berubah untuk menuntut hak 40 peratus daripada kutipan hasil dari Sabah.
“Kekeliruan ini timbul berikutan kenyataan oleh seorang peguam selepas pendengaran Semakan Kehakiman oleh Sabah Law Society (SLS) baru-baru ini.
“Ketua Menteri telah menyatakan bahawa kenyataan peguam berkenaan tidak selari dengan pendirian Kerajaan Sabah dan beliau telah mengarahkan Peguam Besar Negeri untuk memperbetulkan kenyataan tersebut, ” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dengan kenyataan terbabit, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak berganjak dari pendirian untuk terus berusaha melalui platfom perundingan dengan Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan HAK Sabah seperti yang termaktub dalam perlembagaan.
“Kita juga menghormati hak SLS untuk memulakan prosiding undang-undang untuk tujuan mendapatkan hak perlembagaan berkenaan.
“Sehubungan dengan itu adalah juga diharapkan segenap lapisan rakyat tanpa mengira suku kaum, anutan agama atau kepercayaan dan fahaman politik seharusnya bersatu menyokong usaha Kerajaan Sabah untuk menuntut hak kita yang telah lama tertunggak meskipun ada penambahbaikan dari segi kuantum pembayaran interim, tanpa prasangka.
“Kita seharusnya senada dan berfokus dalam perkara ini supaya usaha Kerajaan Sabah untuk mendapatkan kesemua hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia (MA63) itu lebih padu dan jitu dan dapat didengar dengan jelas oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya lagi.