CADANGAN MENURUNKAN HARGA SET UJI RTK COVID-19 KENA PADA MASANYA.  

CADANGAN MENURUNKAN HARGA SET UJI RTK COVID-19 KENA PADA MASANYA.  

26/09/2021 Off By Aduka Jasnin Suman



KOTA KINABALU: Pertubuhan Hal Ehwal dan Pelindung Pengguna Sabah (CAPS) menyambut baik cadangan kerajaan menurunkan harga siling untuk Kit Ujian Kendiri (RTK) Antigen COVID-19 yang menggunakan sampel air liur.

Penurunan harga set RTK ini amat dialu-alukan kerana inilah masa yang sesuai untuk kerajaan memperlihat dan membuktikan keprihatinannya kepada rakyat yang selama ini tertekan dengan kegawatan kewangan untuk kelansungan hidup mereka.

Presidennya, James Baga (gambar), berkata dengan penurunan harga siling alat set kit tersebut sudah pasti membawa berita baik kepada masyarakat pengguna kerana secara tidak langsung ianya dapat meringankan beban kerana alat set tersebut dapat diperolehi dengan harga mampu milik.

Selain itu katanya, CAPS mencadangkan kepada kerajaan agar membenarkan penjualan set uji kendiri RTK ini dijual secara terbuka dan bukannya terhad kepada kedai-kedai ubat dan farmasi.

“Selain memudahkan orang awam untuk mendapatkannya, ianya juga secara tidak lansung dapat menurun dan menstabilkan harga kerana terdapat persaingan harga antara pembekal, pemborong atau peruncit dalam pasaran.

“Disamping itu, Kementerian Kesihatan Malaysia KKM) juga perlu menyenaraikan jenama set uji kendiri RTK yang diluluskan agar pengguna mendapat maklumat tepat dan sahih untuk mengelakkan mereka terbeli ujian kit yang tiruan dan tidak berkualiti,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

James juga berkata, CAPS juga ingin mengingatkan warga pengguna agar sentiasa memeriksa tarikh luput ujian kit yang hendak dibeli untuk mempastikan kit tersebut masih belum tamat tempoh kerana setiap kit ujian mempunyai nombor lot pengeluaran, tarikh pengilangan dan juga tarikh luput.

Menurutnya lgi, CAPS juga mencadangkan supaya Set Ujian RTK ini dikategorikan sebagai barangan harga terkawal bagi mengelakkan peniaga-peniaga yang tidak bertanggung jawab yang sentiasa mengambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati semata-mata untuk mengaut keuntungan berlebihan.

“Penguatkuasaan undang-undang di bawah akta kawalan harga dan anti pencatutan 2011 perlu dikenakan kepada mana-mana peniaga yang menaikkan harga. Mereka ini harus dibawa ke muka pengadilan dan didenda setimpal dengan kesalahan yang dilakukan sebagai amaran kepada peniaga-peniaga yang lain.

“CAPS bersetuju dengan saranan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) agar kerajaan menurunkan harga siling set kit tersebut di bawah RM10 kerana harga siling RM19.90 yang ditetapkan sekarang masih terlalu mahal dan membebankan terutama sekali pengguna yang tergolong dalam B40, golongan yang tidak mempunyai perkerjaan, miskin dan tidak mempunyai pendapatan tetap,” jelas James.

Jelasnya lagi, golongan tersebut sangat memerlukan keprihatinan dan simpati kerajaan berasaskan kemampuan kewangan mereka yang amat terhad bukan sahaja untuk membeli set ujian RTK yang mahal malah terpaksa membeli pelitup muka dan cecair pembasmi kuman yang diperlukan demi mematuhi SOP kerajaan.

Tambah beliau, keadaan seumpama ini menambah tekanan kepada mereka sehingga ada yang memakai pelitup muka yang sama berkali-kali yang sepatutnya pakai dan buang.