27 C
Kota Kinabalu
Ahad, April 21, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Burger Bae’ UMS rangkul 4 Anugerah bernilai RM4,250

Pelajar UMS bergambar bersama anugerah yang dimenangi. Turut kelihatan Ag Nasib Yunos (tengah).

TANJUNG MALIM – Sekumpulan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraih empat Anugerah dalam program Keusahawanan University to Community (UTC)2022, anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)di sini, baru-baru ini.

Kesemua anugerah bernilai RM4,250 diperoleh melaluisebuah makanan barat berjenama ‘Burger Bae’ yang dihasilkan pelajar Fakulti Pengajian Islam (FIS), Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), dan pelajar Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) UMS.

Mereka ialah Muhammad Hafiz Ierfan Rosli (FIS), Azzah Nublah Muhammad Saih (FSSA), Nurul Asykien Arisdani (FPP), dan Wibowo Prasateyo (FSSA).

Program yang terbuka kepada seluruh Universiti Awam di Malaysia itu menyaksikan UMS muncul johan untuk Projek Keusahawanan Sosial Terbaik UTC dan Pembentangan Projek Keusahawanan Sosial Terbaik, serta naib juara bagi Video Montaj Projek Keusahawanan Sosial Terbaik.

Sebuah lagi anugerah diperoleh melalui Pameran Projek Keusahawanan Sosial Terbaik UTC yang menyaksikan UMS berada pada kedudukan yang kelima.

Sementara itu, Hafiz selaku Pengarah Urusan Burger Bae memaklumkan, perusahaan sajian makanan barat itu bermula pada awal tahun 2020 ketika kebanyakan perniagaan gulung tikar akibat berdepan dengan masalah pandemik wabak covid-19.

“Ketika tempoh berkurung sekitar bulan Mac 2020, kami beranikan diri memulakan kajian dan pembangunan demi menghasilkan produk bermutu yang kini telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan.

“Idea ini bukan sahaja penjualan burger, malah memperkasakan belia menganggur dengan memberi peluang pekerjaan kepada mereka terutamanya ketika pandemik,” jelasnya.

Menurut Hafiz, Burger Bae kini mempunyai lima premis yang diserahkan kepada komuniti di Pontian Johor.

“Kita juga telah mengembangkan perniagaan ini ke Sabah dengan mempunyai dua gerai di Kota Kinabalu.

“Menerusi strategi jualan yang berkesan serta sokongan daripada keluarga terutama Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar (PKPKP) UMS, perniagaan Burger Bae berjaya menambat hati para pelanggan sehingga jualan tahunan mencecah RM90,000.

“Sudah tentu, kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mentor yang juga Ketua Penolong Pegawai Tadbir PKPKP, Ag Nasib Yonos yang telah banyak membimbing dan memberi tunjuk ajar,” katanya.

Untuk rekod, program yang berlangsung selama satu tahun sejak Oktober 2021 itu antara lain bertujuan untuk memberi pendedahan ilmu keusahawanan sosial kepada para pelajar.

Majlis perasmian penutupannya disempurnakan Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN