29 C
Kota Kinabalu
Ahad, Januari 25, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Bunyi Tangisan Wanita Seakan ‘Kuntilanak’ Sengaja Menakut-Nakutkan Petugas SJR.

FOTO- Lokasi kejadian di SJR, Jalan Tenom-Sepitang

TENOM: Anggota keselamatan yang sedang bertugas dalam sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Tenom – Sepitang pada malam hari Jumaat dikejutkan dengan bunyi tangisan seorang wanita seakan-akan ‘Kuntilanak’.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, lima anggota terdiri tiga anggota polis dan dua anggota Rela sedang bertugas SJR sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tiba-tiba terdengar bunyi tangisan wanita berhampiran lokasi mereka bertugas.

Suara itu sempat dirakam anggota yang bertugas pada malam kejadian sebelum dikongsi di media sosial sehingga tular. Pelbagai spekulasi di kalangan netizen dan ada yang mendakwa itu adalah makhluk halus.

DSP Hasan Majid

Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Hasan Majid dalam satu kenyataan menjelaskan, setelah pengesanan dan pemeriksaan dibuat mendapati bunyi tangisan diambil dari Youtube ‘Kuntilanak Menangis’ dan  dimainkan melalui alat pembesar suara.

“Polis percaya perbuatan ini dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab yang sengaja menakut-nakutkan orang awam termasuk anggota yang sedang bertugas ketika itu.

“Apa yang mereka lakukan itu adalah salah. Sama ada cuba bergurau atau sengaja menakut-nakutkan, polis akan cari pelakunya,” katanya kepada media pada Sabtu.

Audio yang sempat dirakam petugas SJR-Sumber video Youtube BH

Menurut DSP Hassan, susulan kejadian itu, pemeriksaan telah dijalankan sepasukan polis di kawasan berhampiran dan menemui satu lokasi yang baru ditebas di atas bukit.

“Jika didapati pelakunya kita akan disiasat mengikut Seksyen 189 Kanun Keseksaan dan dihukum dengan penjara selama tempoh boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya dan Peraturan 11 (1) Peraturan – Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah – Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No.4) 2020, boleh dihukum dengan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih daripada enam bulan atau kedua-duanya,” jelas beliau. –TAMAT

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN