IRING..Bung mengiringi Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Mohd Nor masuk ke dewan Persidangan DUN untuk membentangkan Bajet 2020 kemarin
Oleh: Jaafar Abdul Wahid
KOTA KINABALU : Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin menyambut baik Belanjawan 2022 berjumlah 4.596 bilion ringgit yang dibentangkan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, petang jumaat
Katanya belanjawan tersebut menumpukan usaha mengurangkan beban rakyat yang amat terkesan dengan penularan pandemik Covid-19 selain meningkatkan ekonomi negeri.
“Saya menyambut baik beberapa pengumuman dalam pembentangan bajet kali ini dan turut memberi sokongan kepada Ketua Menteri dan saya yakin, kita akan dapat menguruskan lagi ekonomi negeri Sabah ini dengan baik pada masa akan datang dengan adanya pendapatan-pendapatan yang kita rancang untuk meningkatkan ekonomi negeri” katanya ketika ditemui selepas pembentangan Bajet 2022 di Dewan Undangan negeri petang kemarin.
Mengulas lanjut berhubung belanjawan lebihan atau surplus sebanyak 110.68 juta ringgit yang bertemakan ”Ekonomi Pulih, Rakyat Sejahtera”, Bung yang juga Menteri Kerja Raya optimis, nilai ini akan bertambah pada masa akan datang apabila kerajaan negeri akan memperoleh lebih banyak keuntungan yang boleh digunakan untuk membangunkan lebih banyak prasarana dan infrastruktur secara holistik untuk rakyat di negeri ini.
Menurut Bung, beliau juga akan berbincang dengan Menteri Kewangan berhubung langkah dan tindakan yang boleh dilakukan bagi mempertingkatkan lagi infrastruktur di Sabah.
” Kita memahami lebih banyak keperluan pembangunan insfrastruktur diperlukan dan ditingkatkan di negeri ini antara sistem perhubungan jalanraya, bekalan air bersih, bekalan elektrik, pendidikan dan lain-lain yang memerlukan tumpuan khusus untuk menambahkan baik keperluan tersebut demi kesejehteraan rakyat” katanya
Dalam pada itu,Bung yang juga wakil rakyat kawasan Lamag turut menyatakan, kesemua sektor yang menyumbang dalam pendapatan ekonomi Sabah perlu diselaraskan secara bijaksana.
Dalam pada itu Bung juga turut memberitahu tumpuan juga perlu diberikan perhatian terrhadap beberapa sektor antaranya sektor pertanian selain Sektor Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar yang beliau gambarkan sebagai enjin pendapatan ekonomi negeri Sabah sebelum ini.
” Permintaan dalam Sektor Pertanian telah bertambah, demikian juga harga barangan turut naik apa lagi sektor ini juga turut terkesan semasa penularan Pandemik Covid-19 ,justeru fokas untuk mengembalikan agar sektor ini berdaya maju perlu diberikan perhatian khusus dari kerajaan” katanya.
Jelasnya lagi, berdasarkan trend sektor ini, beliau melihat ia satu peluang bagi kerajaan negeri untuk menambahnilai bantuan peruntukkan kepada pemain dalam Industri Kecil dan Sederhana (SME) yang rata-rata terdiri daripada masyarakat kampung.