Tiada yang mustahil
KOTA KINABALU: Khabar angin wujudnya perbincangan rahsia antara UMNO dan Parti Warisan Sabah (WARISAN) untuk membentuk kerjasama politik baharu mungkin ada kebenarannya melihat kepada reaksi pemimpin kedua-dua parti dalam satu forum atas talian semalam.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Timbalan Presiden WARISAN, Datuk Darell Leiking ketika menjawab soalan dalam forum “Beyond the 2020 Sabah Polls: Sabah moving forward” mengenai kerjasama berkenaan tidak menolak kemungkinan tersebut.
Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, politik ‘sentiasa berubah-ubah’ justeru ‘tiada yang mustahil dalam politik’.
“Bergantung kepada orang politik untuk menjayakan perkara itu atau tidak. Persoalannya bukannya tidak boleh berlaku, boleh tetapi adakah ia akan memenuhi kehendak rakyat.
“Jika membawa manfaat kepada rakyat maka kita akan melakukannya (jajaran baharu poilitik). Tetapi seperti sudah saya katakan sebelum ini, kita baru sahaja habis pilihan raya negeri ke 16.
“Jika ada perubahan mungkin akan ada pilihan raya negeri ke 17. Saya bimbang ini akan membawa impak negatif kepada politik, ekonomi dan rakyat kita.
“Walaupun WARISAN bukan dalam kerajaan, tidak salah jika mereka menyumbang dengan berkongsi idea yang baik yang boleh digunakan membangunkan Sabah,” katanya.
Sementara itu, Darell yang menjawab persoalan sama dikemukakan moderator berkata, jika bercakap soal kerjasama, kemungkinan tersebut tidak boleh ditolak.
Beliau turut bersetuju mengenai pandangan Bung bahawa rakyat negeri ini perlu disatukan.
“Pertama sekali kita mesti satukan Sabahan. Jangan berpecah kerana bangsa, kita mesti mempercayai antara satu sama lain jika tidak, kita tidak akan ke mana-mana.
“Kita perlu membuka laluan tetapi Sabah tidak akan mencapai tahap itu jika Kerajaan Persekutuan atau percaturan dari Persekutuan memecah-belahkan dan kita membenarkannya berlaku,” katanya.
Spekulasi mengenai perbincangan rahsia antara UMNO dan WARISAN bermula sebaik sahaja berakhirnya pilihan raya negeri Sabah ke-16 tahun lalu.
Pendirian terbaharu Darell itu bertentangan dengan kenyataannya sebelum ini bahawa WARISAN tidak berminat untuk bekerjasama dengan UMNO.
Ketika ditanya tentang pandangannya yang berbeza sebelum ini, Darell berkata, ketika itu beliau merujuk kepada pemimpin-pemimpin kleptokrat.
“Pendirian kami jelas kami tidak akan bekerjasama dengan pemimpin yang menyebabkan masalah kepada negara, tetapi kini ada pemimpin-pemimpin muda dalam UMNO yang tidak tergolong dalam kelompok kleptokrat.
“Bagi Sabah, kita perlu melihat di luar daripada parti politik semata-mata. Kita perlu menilai jika pendirian mereka sama dengan kita iaitu mereka mesti bercakap tentang Sabah diutamakan,” katanya.- Sabah Today