Redonah menyerahkan bakul makanan
KOTA MARUDU : Ketua Wanita Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Redonah Bahanda, berkesempatan menyantuni masyarakat Kampung Tanjung Batu Laut menerusi Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Bakul Makanan yang diadakan di kampung berkenaan, semalam.
Menurut beliau, program seumpama ini bukan sahaja memberi peluang untuk berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan, malah menjadi platform penting dalam mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat setempat.
“Bulan Ramadan adalah waktu yang sangat bermakna untuk kita memperkukuh semangat kebersamaan, saling membantu serta menyantuni masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Program seperti ini juga memberi ruang kepada kita untuk lebih dekat dengan masyarakat sambil menyampaikan sedikit sumbangan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Dalam majlis tersebut, bakul makanan turut disampaikan kepada beberapa penerima sebagai tanda keprihatinan serta usaha membantu meringankan beban masyarakat, khususnya sepanjang bulan Ramadan.
Datuk Redonah turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan dan berharap usaha kebajikan seperti ini dapat diteruskan demi manfaat masyarakat setempat.
“Semoga usaha kecil ini dapat membawa kebaikan serta keberkatan kepada semua yang terlibat, khususnya kepada masyarakat Kampung Tanjung Batu Laut,” tambah beliau.
Turut hadir pemangku Ketua Bahagian PGRS N6 Bandau Sharif Kadah bin Sharif Osman.



