28 C
Kota Kinabalu
Rabu, Februari 11, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Budaya kerja cemerlang mampu hasilkan perkhidmatan berkualiti.

Robert menyampaikan APC kepada salah seorang pegawai perkhidmatan pada majlis itu.

KENINGAU:Amalan budaya kerja cemerlang mampu menghasilkan perkhidmatan yang berkualiti.

Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik @ Nordin berkata, kecemerlangan membawa implikasi maju ke hadapan, bersifat dinamik, gemilang, menerima sanjungan dan menjadi “role model” kepada masyarakat.

Katanya, budaya kerja cemerlang yang hendak dibentuk hendaklah menggambarkan komitmen pengurusan meningkatkan kualiti dan produktiviti.

“Kualiti adalah satu keadaan yang cemerlang tetapi ia tidak terhad kepada satu tahap sahaja. Apabila kita mencapai kualiti, ada lagi  kualiti yang lebih baik mesti dikejar” katanya semasa berucap menyempurnakan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC)Tahun 2021 Pejabat Pendidikan Daerah Keningau di Dewan SJKC Yuk Yin Keningau pada Rabu lepas.

Seramai 233 pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional, Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Sokongan dalam bidang pendidikan di daerah Keningau menerima APC pada majlis itu.

Produktiviti pula katanya, merupakan keupayaan untuk menghasilkan sesuatu output daripada satu set input yang telah diberikan.

Jelasnya, produktiviti yang terhasil secara tidak langsung menggambarkan kecekapan dan keberkesanan dalam penggunaan sesuatu sumber seperti teknologi, peralatan, tenaga dan lain-lain lagi.

Pada masa sama katanya, seorang pegawai yang cemerlang seharusnya mempunyai tahap kecederasan dan kecekapan yang tinggi, berkebolehan merancang, menganjur dan menetapkan keutamaan dalam menyelasaikan masalah.

Sementara itu Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Bingkor berkata, intergriti dapat dinilai sejauh manakah seseorang pagawai itu bersikap jujur terhadap diri sendiri dan rakan-rakan berlandaskan etika kerja.

“Keberanian dan kesediaan menerima cabaran, mengambil risiko dan kesanggupan menerima tugasan yang besar juga merupakan ciri-ciri cemerlangnya seseorang pegawai”.

“Aspek yang paling utama ialah kekuatan dalaman seseorang pegawai. Setiap pegawai mestilah memiliki kesabaran, bersemangat kental dalam memastikan matlamat dan agenda pendidikan tetap dilestarikan terutamanya ketika berdepan saat-saat yang sukar seperti penularan pandemik COVID-19” jelasnya.

Hadir sama Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Perancangan Daerah Puan Jamilah Talib, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pembelajaran Puan Francisca John, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pengurusan Sekolah Arinin Naiman, Timbalan Pendidikan Daerah Sektor Pembangunan Murid Erce Duis, Pengerusi Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sabah Bahagian Pedalaman Haji Ahmud Haji Saribin, Ketua-Ketua Sektor, Pengetua-Pengetua dan Guru-Guru Besar.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN