24.9 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Mei 16, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Bilangan penghidap diabetes terus meningkat: Dr Wong

Para peserta Kem Kesihatan Diabetes KK Kundasang 15 Nov sempena sambutan Hari Diabetes Sedunia 2024


KUNDASANG: Statistik menunjukkan bahawa sebanyak 15.6 peratus populasi rakyat Malaysia, iaitu kira-kira 4.4 juta orang, kini menghidapi diabetes, dan bilangan ini dijangka akan terus meningkat dalam masa yang akan datang.


Pengarah Perubatan Pentadbir Pejabat Kesihatan Daerah Ranau, Dr Wong Yoke Kong memberitahu bahawa di Kundasang sahaja, terdapat sebanyak 407 klien yang menghidapi penyakit diabetes dan antara ini, 23 orang adalah kes baru untuk tahun 2024.


“Penyakit diabetes mellitus adalah antara peyakit yang amat memudaratkan sekiranya tidak dikawal dengan baik.


“Ia boleh menyebabkan macam-macam kesan buruk kepada organ-organ kita seperti retinopati diabetes, kegagalan buah pinggang, penyakit kardiovaskular, komplikasi pada kulit dan kaki, masalah mental dan kognitif.


“Sesungguhnya mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Kita boleh mencegah daripada mendapat penyakit diabetes dengan mengamalkan pemakanan sihat, kekalkan berat badan ideal, aktif secara fizikal, elakkan merokok, elakkan alcohol dan kawal stress dengan baik,” kata beliau.


Selain itu, Dr Wong menyarankan kepada masyarakat awam agar bersama-sama berusaha untuk mencapai kawalan diabetes yang baik untuk mencegah komplikasi diabetes yang tidak diingini daripada terjadi.


Beliau berkata demikian semasa merasmikan program Kem Diabetes Klinik Kesihatan (KK) Kundasang 2024 yang diadakan di sini baru-baru ini.


Beliau menambah, setiap pesakit diabetes berpeluang untuk menjalani kehidupan yang baik dengan mendapat penjagaan yang optima dan sokongan ke arah kesejahteraan hidup.


“Maka, inilah tujuan kem diabetes Klinik Kesihatan ini dijalankan pada hari ini, untuk memberikan pendedahan mengenai diabetes dan rawatannya di kalangan klien diabetes kita.


“Ia juga bertujuan untuk memperkasakan klien dalam pengedalian penyakit diabetes yang dialami oleh mereka. Saya berharap program kita pada hari ini membawa manfaat kepada semua.


“Kita berharap agar semua klien berasa yakin dan bersemangat dalam menangani peyakit diabetes yang dialami mereka, kerana staff-staff Klinik Kesihatan Kundasang adalah sentiasa bersedia dalam membantu,” katanya.


Sementara itu, Dr Wong berkata, sejak mencapai kemerdekaan, negara telah mencapai banyak kemajuan dan pembangunan dari segi sosioekonomi dan kesihatan, namun ia juga menyaksikan perubahan trend penyakit berjangkit kepada penyakit tidak berjangkit.


“Ini sangatlah berkait rapat dengan gaya hidup seharian yang tidak sihat di kalangan masyarakat kita.


“Masalah lebih berat badan dan obesiti sudah bukan benda yang baru kita hadapi. Ia merupakan salah satu faktor penyumbang utama kepada penyakit kronik yang lain seperti diabetes, darah tinggi, kolesterol tinggi, dan penyakit kardiovaskular yang lain,” katanya.


Beliau mengucapkan syabas kepada Unit Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) KK Kundasang atas komitmen dan dedikasi dalam menyokong sambutan Hari Diabetes Sedunia yang jatuh pada 14 November 2024, dengan tema “Diabetes dan Kesejahteraan Diri”.


“Terima kasih dan tahniah kepada pihak Klinik Kesihatan Kundasang dan semua pihak dalam memastikan kem diabetes ini dijalankan dengan jayanya.


“Tanpa kerjasama daripada semua pihak, pastinya tujuan program ini tidak dapat disampaikan dengan berkesan. Diharapkan agar program dianjur lagi pada masa depan untuk kepentingan penduduk Kundasang.


Turut hadir di majlis itu, Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Kundasang, Dr Jamalia Kamarudin, staff Klinik Kesihatan Kundasang, dan lain-lain.



ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN