Ghani (tengah) dan Bobbey mengabadi kenangan bersama Ahli Jawatankuasa Bahagian, Armada dan Srikandi serta perwakilan dan pemerhati.
NABAWAN : Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) P.182 Pensiangan mendukung Tan Sri Mahiaddin Yassin dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor untuk mengemudi parti Bersatu diperingkat Persekutuan dan Negeri.
Perkara tersebut diusulkan pada Persidangan Perwakilan Bahagian Bersatu P.182 Pensiangan yang dibentangkan oleh setiausaha Bahagian Bersatu Pensiangan Anthony Amin
Lima lagi usul yang lain turut dibentangkan dalam persidangan perwakilan yang berlangsung di dewan serbaguna Majli Daerah di sini kelmarin.
Antaranya ialah usul mendukung Ketua Menteri dalam aspirasi dan objektif Sabah Maju Jaya untuk bersatupadu, aman dan sejahtera, mengoptimum hasil negeri, pemulihan sumber ekonomi, merangsang ekonomi dan membangun modal insan.
Selain itu menyokong penuh inisiatif untuk komponen Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ke arah perpaduan, mengesyorkan had tempoh jawatan Ketua Menteri kepada hanya dua penggal secara berturut-turut, mengesyorkan Kerajaan Persekutuan mengembalikan hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam Malaysian Aggreement 1963 (MA63) dan memohon Perdana Menteri memberi pertimbangan terhadap pembangunan infrastruktur Negeri Sabah.
Sementara itu Ketua Bahagian Bersatu Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin berkata, pembangunan di kawasan Pensiangan ada hasil perancangan pemimpin-pemimpin terdahulu yang perlu diteruskan.
Katanya, pembangunan di kawasan ini bukanlah usaha sebelah pihak sahaja tetapi kerjasama semua pemimpin seperti ADUN dan Ahli Parlimen.
Ghani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)berkata, kerjasama pemimpin amat penting untuk tentukan arus pembangunan di Pensiangan.
“Keutamaan kita adalah infrastruktur terutama naiktaraf jalanraya ke Daerah Kecil Pagalungan yang kini sedang dalam pembinaan disamping perancangan naiktaraf jalanraya ke Pensiangan dan Penontomon” katanya.
Seramai 87 orang perwakilan termasuk Ahli Jawatankuasa Bahagian, Armada dan Srikandi terlibat dalam persidangan itu.
Kehadiran dihadkan mengikut SOP Pandemik Covid-19 yang telah ditetapkan oleh MKM dan KKM.
Persidangan itu turut dihadiri oleh para pemerhati yang terdiri daripada Ketua-Ketua Penaja Cawangan Bersatu dan Pemimpin-Pemimpin Masyarakat.
Hadir sama pada persidangan itu, Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bobbey A. Suan yang juga Naib Ketua Bahagian Bersatu Pensiangan.