25 C
Kota Kinabalu
Khamis, Jun 20, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

LARANGAN RENTAS DAERAH DIAWALKAN BERMULA 24 MEI INI: MASIDI

MASIDI..(Gambar fail)

KOTA KINABALU: Larangan merentas daerah di Sabah akan bermula Isnin ini (24 Mei) serta berkuat kuasa hingga 7 Jun depan, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

Beliau berkata Kerajaan Negeri Sabah membuat keputusan untuk mengawalkan larangan rentas daerah berikutan kes baharu Covid-19 di negeri itu merekodkan tiga angka sejak tiga hari lepas dengan sejumlah 160 kes dicatat pada Rabu, 245 kes semalam dan 144 kes hari ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri memutuskan untuk melaksanakan larangan itu bermula Khamis depan (27 Mei) dan hanya berkuat kuasa hingga 3 Jun.

Sepanjang larangan rentas daerah itu, Kota Kinabalu, Putatan serta Penampang akan dikategorikan sebagai satu daerah dan pergerakan penduduk antara ketiga-tiga daerah adalah dibenarkan manakala penduduk lain kekal dalam daerah masing-masing.

“Pelaksanaan larangan rentas daerah itu bertujuan untuk mengawal pergerakan dan jangkitan antara daerah dalam kategori merah dan jingga ke daerah kategori hijau dan kuning,” kata beliau yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan Covid-19 dalam kenyataan malam ini.

Setakat ini, terdapat masing-masing sembilan daerah dalam zon merah dan zon kuning, tujuh dalam zon hijau serta dua dalam zon jingga.

Hari ini, daerah Sandakan bertukar status daripada zon jingga kepada merah manakala Kinabatangan daripada zon merah kepada jingga, Sipitang daripada kuning kepada hijau dan Kudat daripada hijau kepada kuning.-Bernama

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN