Rafie ketika melawat Eko-Pelancongan Tobobon Buhou.
KENINGAU: Orang ramai diajak untuk beriadah sambil memberi sokongan kepada pengusaha-pengusaha pelancongan di negeri ini khususnya di daerah ini.
Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Daerah Keningau, Rafie Robert berkata, sokongan sambil beriadah amat diperlukan kerana ianya akan membantu pengusaha-pengusaha pelancongan khususnya yang baharu untuk mengembangkan produk-produk pelancongan mereka dan seterusnya mampu memberi perkhidmatan yang lebih baik di masa akan datang.
Katanya, antara produk pelancongan yang baharu di daerah ini ialah Eko-pelancongan Sondoton D’Kabaid, Eko-pelancongan Tobobon Buhau dan Eko-Pelancongan Kampung Motomou Rantai.
Katanya, ketiga-tiga produk Eko-pelancongan ini terletak di sepanjang jalan Bundu Apin-Apin Keningau dan baru sahaja bermula operasinya dan memerlukan sokongan berterusan daripada orang ramai.

Rafie ketika melawat produk Pelancongan iaitu Pamalan Rabit
Selain itu, satu lagi produk Pelancongan dalam kategori Zoo Peliharaan iaitu berkonsepkan peliharaan Arnab iaitu Pamalan Rabit.
Jelasnya, perniagaan ini diusahakan oleh anak muda tempatan dimana Pamalan Rabit menyediakan taman arnab untuk kanak-kanak beriadah.
“Mereka juga menjual arnab untuk dibawa balik sebagai peliharaan dan juga menjual daging arnab.
“Selain itu, pengunjung juga berpeluang untuk belajar mengenai cara pembiakan, penjagaan dan mengenal spesies arnab yang ada,” katanya.
Tambahnya, kadar bayaran masuk hanya RM3.50 bagi setiap pengunjung.
Beliau berharap agar produk pelancongan mereka akan terus berkembang dan mampu menjana pendapatan yang lumayan di masa akan datang.