Gambar: Balai Polis Kundasang
RANAU: Pergerakan Exco Wiramuda Parti Solidariti Sabah Tanah Airku (StarSabah) menggesa agar kerajaan menimbang pembaikan serta pembinaan Balai Polis dan Balai Bomba di kawasan peranginan Kundasang.
Ketuanya, Kong Soon Choi berkata, pihaknya memandang serius perkara itu berikutan mengambil ikhtibar kejadian tanah runtuh di Batang Kali baru-baru ini yang mengorbankan puluhan nyawa serta mencederakan beberapa individu lain.
“Saya menggesa Kerajaan Perpaduan dibawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pembangunan Dan Kerajaan Tempatan segera membawa agenda pembaikan dan pembinaan Balai Polis dan Balai Bomba di Pekan Kundasang kerana lokasi ini menjadi tumpuan utama pelancong seluruh dunia”. Tegasnya.
Kong yang juga Timbalan Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan, kesiapsiagaan anggota keselamatan amat penting di kawasan tanah tinggi Kundasang lebih-lebih lagi ketika keadaan cuaca tidak menentu kebelakangan ini.
Jelasnya, jika mengharapkan kehadiran anggota keselamatan daripada Pekan Ranau yang jaraknya agak jauh dengan kawasan pelancongan Kundasang, sudah tentu mengambil masa yang agak lama sekiranya berlaku sesuatu kecemasan.
Tambah Kong, struktur Balai Polis Kundasang yang ada ketika ini di Pekan Kundasang perlu di ubahsuai agar dapat menampung jumlah anggota polis yang mencukupi dikawasan tersebut.
“Saya melihat sendiri struktur bangunan Balai Polis Kundasang yang menggunakan kontena sahaja. Mungkin pihak kementerian boleh utamakan pembinaan sebuah bangunan lebih selesa dan sesuai termasuk dilengkapi rumah kakitangan”. Katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pertandingan Cabaran Motorcross di Kg.Kinapulidan dekat sini pada Sabtu lepas.
Tinjauan disekitar Pekan Kundasang mendapati lokasi Balai Polis Kundasang terletak di dalam kawasan Dewan Masyarakat Majlis Daerah Ranau (MDR) dan perkhidmatan Bomba bergantung daripada kakitangan itu di Balai Bomba Daerah Ranau.