26 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Jun 14, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Beri perhatian serius pada hal ehwal kanak-kanak berkeperluan khas: James

PERASMIAN…Datuk James memalu gong sebagai gimik perasmian.


SANDAKAN: Keprihatinan bagi hal ehwal kanak-kanak berkeperluan khas perlu diketengahkan ekoran peningkatan bilangan diagnosis untuk gangguan spektrum autisme di Malaysia secara berterusan sejak sedekad lalu.


Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (KPMKR), Datuk James Ratib berkata, angka tahunan terkini menunjukkan seramai 589 orang kanak-kanak berumur 18 tahun dan ke bawah disahkan menghidap Autisme.


Kata beliau, angka yang diperolehi dari data untuk tahun 2021 bagi Negeri Sabah itu merupakan peningkatan sebanyak 5 peratus daripada 562 orang kanak-kanak pada tahun 2020.


“Oleh yang demikian, saya berharap di masa hadapan negeri Sabah mempunyai sebuah sekolah autisme yang boleh meringankan kos pembiayaan tinggi ibu bapa atau penjaga kanak-kanak autisme di negeri Sabah.


“Seperti yang telah saya ketengahkan sebelum ini cadangan untuk pembinaan sekolah tersebut telah dipersetujui di peringkat kabinet. Kini, kajian komprehensif perlaksanaan sekolah autisme ini masih lagi sedang dibincangkan dan diperhalusi,” kata beliau.


James yang juga Adun Sugut berkata demikian semasa merasmikan Bengkel Keibubapaan: Pengendalian Kanak-Kanak Berkeperluan Khas yang diadakan di Grand Ballroom, Sandakan Hotel, Sabah pada hari Sabtu.


“Program pada hari ini merupakan satu ‘Roadshow’ bengkel keibubapaan yang melibatkan 4 daerah iaitu Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Keningau. Bengkel ini telah saya lancarkan pada 4 Mac minggu lalu di Kota Kinabalu.


“Pada hari ini, tiba pula giliran rakyat di daerah Sandakan pula berpeluang untuk mengikuti Bengkel Keibubapaan. Seterusnya program ini akan disusuli di daerah Tawau pada 18 Mac dan diakhiri dengan daerah Keningau pada 13 Mei,” katanya.


Menurut James, antara objektif yang ingin diketengahkan dalam bengkel ini adalah untuk meningkatkan tahap kesedaran serta meluaskan pengetahuan masyarakat tentang kanak-kanak berkeperluan khas.


“Yang pastinya, ilmu ini akan diberikan oleh beberapa penceramah profesional kita pada hari ini yang cukup berpengalaman dalam pengendalian kanak-kanak berkeperluan khas sebentar nanti,” kata beliau.


Tambah beliau, antara cabaran yang sering dihadapi oleh ibu-bapa dan penjaga adalah ketika kanak-kanak istimewa ini mempunyai gangguan emosi ataupun tingkah laku yang lebih sukar untuk dikawal.


“Ada sesetengah tingkah laku anak-anak ini mungkin sukar diterima dan difahami oleh masyarakat sekeliling. Mereka mungkin dipandang serong ataupun lebih dikenali sebagai stigma dari masyarakat.


“Ini sering menimbulkan perasaan malu ahli keluarga untuk mendapatkan rawatan atau khidmat nasihat profesional seterusnya boleh menjejaskan perkembangan kognitif, emosi dan sosial kanak-kanak istimewa ini, di samping tercalar emosi ibu bapa dan penjaga itu sendiri.


“Sejujurnya, saya sentiasa kagum dengan ibu bapa atau penjaga yang terpilih untuk membesarkan dan mendidik kanak-kanak berkeperluan khas kerana semestinya bukanlah mudah,” kata beliau.


James berkata, ia merupakan tanggungjawab sepenuh masa atau “full-time duty” yang penuh dengan suka, duka, pelbagai cabaran dan rintangan, lebih-lebih lagi dalam mencapai hasrat agar mereka mampu untuk menjadi sebahagian daripada komuniti.


“Justeru, bengkel pada hari Ini kita bukan sahaja fokus kepada kanak-kanak tersebut sahaja, tetapi kita juga bertujuan untuk membantu mengenal pasti dan menangani stres dalam kalangan ibu bapa mahupun penjaga (“caregiver”) yang berkenaan.


“Syabas dan tahniah kepada barisan penganjur iaitu Jabatan Psikiatri & Kesihatan Mental Hospital Duchess of Kent, MPMS, Persatuan Kebajikan Kesihatan Mental Sandakan, C.H.I.L.D. Sabah, dan Persatuan Kesihatan Jiwa Sabah.


“Sudah tentu, bengkel kita pada hari ini tidak akan terlaksana jika tiada kerjasama dan komitmen yang kukuh daripada pihak-pihak tersebut,” jelas beliau.


Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap KPMKR, Maria David Edick, Pengarah Hospital Duchess of Kent Sandakan, Dr Mohd Fahmie Bin Othman, Pakar Psikiatri dan Ketua Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Duchess of Kent merangkap Pengerusi Penganjur, Dr Cheang Yue Wen, Setiausaha Eksekutif Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah, Joeanne Lee Soon Ee, Pengerusi Persatuan Kebajikan Kesihatan Mental Sandakan, Rozman Bin Samsudin dan lain-lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN