YB Datuk Abidin (tengah) dan lain-lain semasa sambutan Sambutan Hari Kemerdekaan 2025 di Kg Kigiok
RANAU: Golongan belia di daerah ini perlu bijak dalam menilai sebarang informasi yang mereka terima melalui saluran media sosial kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.
“Belia juga perlu sedar bahawa mereka adalah aset negara yang akan menjaga masa depan kita. Justeru, mereka perlu ada kebolehan menilai sesuatu informasi dengan kritis.
“Kita harus sentiasa berhati-hati dengan pos-pos yang tidak bertanggungjawab di media sosial. Kerana informasi yang tidak tepat hanya memecahbelahkan perpaduan kita,” katanya.
Tambah beliau, belia masakini disaran untuk menanam sifat cintakan negara dan negeri dan perlu ada semangat patriotisma dan semangat kekitaan demi keharmonian rakyat berbilang kaum.
“Perpaduan amat penting di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara kita. Kita harus bersatu padu dalam kepelbagaian untuk membina negara bangsa yang merdeka,” kata beliau.
Abidin yang juga Adun Paginatan berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Sambutan Hari Kemerdekaan 2025 yang diadakan di Mini Dewan Kg Kigiok baru-baru ini.
Beliau merakamkan ucapan jutaan terima kasih atas kesempatan bersama-sama dalam majlis tersebut dimana beliau sempat meninjau projek-projek kampung yang sudah dilaksanakan di Kg Kigiok.
Menyentuh tentang Sambutan Hari Kemerdekaan, katanya, Malaya telah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Pada tarikh yang sama Sabah telah diistihar sebagai merdeka dan mempunyai kerajaan sendiri pada tahun 1963.
“Kerajaan Sabah telah mewartakan 31 Ogos sebagai Hari Sabah bermula tahun 2024 yang lepas. Apa yg penting adalah bagaimana kita mengisi Kemerdekaan, Kemerdekaan yang diperjuang oleh bapa leluhur kita lebih 60 tahun yang lalu,” katanya.
Abidin terus menyeru supaya penduduk Kg Kigiok terus memberi sokongan padu kepada Kerajaan GRS dan menyokong pelan pembangunan Kerajaan melalui inisiatif Pembangunan SMJ 1.0 yang terbukti telah memberi kesejehteraan kepada rakyat dalam tempoh lima tahun pemerintahan Kerajaan GRS.
Menurutnya, Kerajaan GRS mempunyai halatuju pelan pembangunan yang jelas dan sudah tentu SMJ 2.0 akan diteruskan apabila rakyat memberi mandat baru kepada Kerajaan GRS.
Bagi penduduk di DUN Paginatan, Abidin berkata, visi dan misi yang beliau telah lakarkan sejak lima tahun yang lalu sedikit sebanyak telah dicapai.
“Antaranya yang paling signifikan adalah pengeluaran lebih 1,000 geran tanah melalui Program Pantas dan telah diagih-agihkan kepada para penduduk kampung di beberapa kampung di DUN Paginatan.
“Kita juga berjaya mengeluarkan kawasan kampung Ponulangon dan Walou daripada hutan simpan. Selain daripada itu, baru-baru ini YAB Ketua Menteri Sabah telah datang ke Nunuk Ragang untuk menyempurnakan Pecah Tanah Pekan Baru Paginatan.

YB Datuk Abidin menghulurkan sumbangan kepada salah seorang penerima warga emas di sini
“Ini merupakan hanya sebahagian daripada pencapaian kita. Kita tidak akan berhenti di sini dan kita akan terus berusaha demi kesejahteraan rakyat di DUN Paginatan,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi JKKK Kg. Kigiok, Jasni Lita merakamkan jutaan terima kasih atas kehadiran Yb Datuk Abidin sempena Perayaan Kemerdekaan Peringkat Kg Kigiok dan berterima kasih kerana Yb Datuk sanggup mengelilingi Kg. Kigiok meninjau keadaan dan keperluan kampung.
“Ini lah pemimpin yang kita mahu, pemimpin yang sentiasa menyantuni rakyat dan melihat keperluan rakyat. Kepemimpinan Yb Datuk Abidin masih amat diperlukan di DUN Paginatan,” katanya.
Sementara itu Setiausaha Bahagian PBS N38 Paginatan, Sairin Kasaman menyeru kepada semua penduduk Kg. Kigiok untuk terus berada di belakang Yb Datuk Abidin untuk memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada beliau dan mempastikan Yb Datuk Abidin Madingkir akan terus menjadi Wakil Rakyat selepas PRN17 nanti.
Mewakili semua ahli dan penyokong PBS di DUN Paginatan, beliau sentiasa menghormati saranan pemimpin atasan PBS untuk menghormati MOU yang ditandatangani di antara Star dan PBS dan akan memberi sokongan padu kepada YB Datuk Abidin Madingkir dalam Pilihanraya akan datang.
Ketua Kampung Kg. Kigiok, KK Ahidi Kasaman juga menyeru kepada semua penduduk Kg Kigiok supaya memberi sokongan kepada YB Datuk Abidin untuk terus menjadi Wakil Rakyat supaya ada kesinambungan projek kampung yang kini sudah mencapai 60% telah dilaksanakan.
Oleh itu beliau mahu supaya Datuk Abidin dapat menyambung usaha pembangunan kampung yang sudah dimulakan terutama dalam usaha mewartakan kampung.
Dalam pada itu, Datuk Abidin sempat menziarahi dan menyantuhi tiga orang warga emas yang sedang sakit dan terlantar di rumah masing-masing. Beliau juga sempat meninjau keadaan parit utama kampung yang perlu diselenggara, dan tandas awam yang perlu pembaikan.
Dalam majlis tersebut Datuk Abidin mengagih agikan 20 bakul makanan kepada golongan warga emas.
Turut hadir, PPM Hishamudin Harun, Pegawai Khas Datuk Abidin Madingkir, Juis Konsuling, CDO Jipili Sigal, Pemaju Mukim Tanah Rata, Lasius Golipoi, para Pemegang Adat dan pemimpin kampung sekitar.



