Md. Nadzmin (berdiri kesepuluh kiri) bersama para AJK Penganjur dan peserta pertandingan di dalam program tersebut
RANAU: Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ranau telah menganjurkan Kejohanan Bola Sepak 7 Sebelah Piala Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ranau 2024 (Tertutup Ranau), yang telah berlangsung dengan jayanya selama dua hari, bermula pada 31 Ogos hingga 1 September 2024.
Dalam kejohanan ini, pasukan Kilimu A telah dinobatkan sebagai juara, sementara Sinar Villa meraih tempat naib johan. Tempat ketiga disandang oleh Bonama FC, dan tempat keempat pula diraih oleh Gayadan FC.
Program yang dirasmikan oleh Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ranau, Md. Nadzmin Kamin itu juga turut dihadiri oleh Ketua Penerangan Pemuda Umno Negeri Sabah, Mahat Jumahat.
Kejohanan ini telah disertai oleh 31 pasukan dari seluruh daerah Ranau. Seramai lebih kurang 800 orang termasuk pengunjung telah menghadiri program ini atas dasar menyokong minat belia kepada sukan bola sepak di daerah ini.
Program ini adalah hasil kerjasama antara Pemuda UMNO Bahagian Ranau dan Kilimu Vet, dengan matlamat utama untuk mengangkat martabat sukan bola sepak di peringkat daerah, merapatkan silaturahim di kalangan masyarakat.
Menurut Md. Nadzmin semasa ucapan perasmiannya, program tersebut juga diadakan bagi mengetengahkan dan mengangkat bakat-bakat muda yang mencintai sukan bola sepak di Ranau.
Beliau juga mengajak para belia untuk mula berani bersuara dalam mengetengahkan idea-idea baharu.
Di samping itu, katanya, barisan pemuda Umno Ranau juga bersedia untuk menjadi platform kepada suara belia.
Dalam masa yang sama beliau mengingatkan juga bahawa zaman ini adalah zaman yang mana anak muda perlu mula bersuara tentang dasar-dasar dan polisi yang boleh majukan negara dan bukan hanya isu isu yang menyentuh prasarana dan infrastruktur semata-mata.
Tambahnya, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ranau akan terus komited untuk bergerak seiring dengan denyut nadi, aspirasi, dan citra warga Ranau, khususnya para belia.
“Kami yakin bahawa usaha berterusan ini akan membuahkan hasil yang positif dalam membangunkan potensi sukan dan memperkukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat,” jelas beliau.