Dari kiri..Syukri, Shafri, Zulhimat, Datuk Abidin, Nur, Syivero dan Hisyamuddin
RANAU: Para belia dan beliawanis di negeri ini khususnya di Daerah Ranau digesa agar terus bergiat aktif dalam menjalankan aktiviti sukan.
Program pada hari ini merupakan satu program yang telah dirangka oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan Malaysia bagi menggalakkan masyarakat bergiat aktif dan cergas dengan terlibat dalam pelbagai aktiviti sukan. Seterusnya program ini juga bertujuan bagi menjadikan sukan sebagai satu gaya hidup sihat dan amalan harian serta meningkatkan tahap kesihatan dan produktiviti komuniti.
Suhubungan itu, harapan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia memperkenalkan Program 1000 Liga adalah untuk memberikan fokus kepada sukan kategori individu sahaja yang mana terbuka kepada semua lapisan masyarakat untuk menyertai aktiviti sukan ini tanpa mengira umur dan jantina.
Demikian ucapan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah merangkap ADUN N38 Paginatan, Datuk Abidin Madingkir ketika merasmikan Program 1000 Liga Tahun 2022 Peringkat Bahagian Pantai Barat bagi pertandingan catur yang berlangsung di Dewan Kementerian Belia dan Sukan Sabah Cawangan Ranau baru-baru ini.
“Saya dimaklumkan terdapat tujuh jenis sukan yang dipertandingkan dalam Program 1000 Liga ini yang telah dijalankan sepanjang bulan Julai sehingga Ogos 2022. Tujuh jenis sukan tersebut adalah sukan ping-pong, badminton, catur, gusti lengan, larian 100 meter, muaythai dan memanah. Beberapa aktiviti sukan ini telah pun dijalankan bermula pada 16 Julai 2022 di padang Pekan Tuaran sempena Sambutan Hari Belia Peringkat Kebangsaan yang melibatkan sukan muaythai, memanah dan gusti lengan. Oleh itu sebagai warga Ranau, pada hari ini kita perlu berterimakasih kepada Pejabat Belia dan Sukan Persekutuan Bahagian Pantai Barat kerana telah memilih Daerah Ranau untuk pelaksanaan Program 1000 Liga Tahun 2022 bagi pertandingan catur dan ping-pong. Ini merupakan satu penghargaan kepada belia dan beliawanis di Daerah Ranau oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan Malaysia supaya dapat berpeluang menyertai program-program seumpama ini,” jelas Datuk Abidin.
“Syabas dan tahniah kepada semua peserta kerana tidak melepaskan peluang menyertai Program 1000 Liga Tahun 2022 bagi pertandingan catur yang dianjurkan hari ini. Ucapan tahniah juga atas inisiatif Kementerian Belia dan Sukan Malaysia khususnya kepada pihak penganjur Pejabat Belia dan Sukan Persekutuan Pantai Barat dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sabah Daerah Ranau, Majlis Belia Sabah, Gabungan Belia Ranau dan Kelab Catur Ranau kerana telah bertungkus-lumus menjayakan Pelaksanaan Program 1000 Liga Tahun 2022 bagi pertandingan catur hari ini,” ujar Datuk Abidin lagi.
Dalam pertandingan tersebut wakil peserta dari Daerah Ranau mencipta sejarah tersendiri apabila johan pertandingan catur kategori terbuka dimenangi oleh Zulhimat Taip manakala anaknya, Nur Izz Zayani telah menjuarai kategori bawah 12. Juara bagi kategori bawah 18 dimenangi oleh Muutashim Azkia mewakili Daerah Kota Marudu.
Hadiah disampaikan oleh Datuk Abidin diiringi Pegawai Belia Sukan Persekutuan Bahagian Pantai Barat, Syivero Patrick, Pegawai KBSS Daerah Ranau, Shafri Jamirin, PPM N38 Paginatan, Hisyamuddin Harun dan Pengerusi Gabungan Belia Ranau, Syukri Saridih.