30 C
Kota Kinabalu
Jumaat, April 19, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

BEBERAPA PROJEK NAIK TARAF UBAH WAJAH LAHAD DATU : JAPLIN

Kenangan…Japlin (baju merah) dan Mizma bergambar kenangan bersama ahli-ahli Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah cawangan Lahad Datu di sini semalam.

Oleh: Liza Din

LAHAD DATU – Lahad Datu dijangka bertukar wajah apabila beberapa cadangan projek dijangka dilaksanakan termasuk menaik taraf lapangan terbang, hospital dan pelabuhan di daerah ini.

Naib Presiden Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah, Datuk Japlin Akim berkata, tiba masanya lapangan terbang di daerah ini diperbesarkan bagi membolehkan pelancong luar datang terus ke sini sekali gus meningkatkan lagi sektor pelancongan yang ada.

Menurut beliau, Lahad Datu mempunyai pelbagai tarikan tersendiri dan jika mempunyai lapangan terbang yang lebih besar akan merancakkan lagi sektor pelancongan selain kemudahan kepada penduduk setempat.

“Selain itu, tiba masanya Klinik Kesihatan Lahad Datu dinaik taraf untuk meningkatkan lagi kemudahan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk setempat.

“Naik taraf klinik kesihatan kepada hospital ini akan mempunyai doktor pakar tersendiri dan tidak perlulah penduduk  Lahad Datu ke daerah lain untuk mendapatkan rawatan pakar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Sangom Maglami-Lami anjuran Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah, Cawangan Lahad Datu di sini semalam.

Japlin berkata, selain itu, Majlis Daerah Lahad Datu juga sewajarnya dinaik taraf kepada majlis perbandaran bagi membolehkan daerah itu menikmati kemudahan pembangunan yang lebih baik berbanding sekarang ini.

Malah katanya, pelabuhan di Lahad Datu juga dicadang dinaik taraf ke peringkat antarabangsa kerana keadaan geografi yang sesuai, malah lebih baik berbanding Pelabuhan Kota KInabalu.

“Lokasi dan keadaan laut di Lahad Datu lebih dalam malah lebih dalam berbanding Kota Kinabalu sekali gus memudahkan kapal-kapal besar singgah.

“Oleh itu, adalah wajar pelabuhan di sini dinaik taraf dan saya percaya jika dilaksanakan kelak akan memajukan lagi daerah Lahad Datu,” katanya.

Menyentuh perkara lain, Japlin berkata, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kini semakin kuat dan menerima sokongan baik daripada rakyat.

“Gabungan lima parti kini semakin kukuh dan saya lihat sokongan rakyat juga semakin kuat. Di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sekarang, kerajaan kita semakin stabil dan kuat,” ujar beliau.

Japlin turut menyeru semua ahli Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah supaya mengukuhkan perpaduan sesama sendiri kerana etnik Bajau sangat besar bukan sahaja di Sabah tetapi juga di rantau Asia Tenggara.

“Saya yakin jika kita bersatu padu, kita mampu jadi satu bangsa Bajau yang besar dan kuat kerana kita ini adalah satu etnik yang besar dan ada di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Hadir sama ahli Majlis Tertinggi Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah, Mizma Appehdullah yang juga Pemimpin Pembangunan Masyarakat Dun Segama, Parlimen Lahad Datu.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN