KUALA LUMPUR: Beberapa kerjasama strategik dibincangkan antara Asia Pacific Exchange (APEX) yang telah mengiktiraf Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu sebagai Port Tank Installation (PTI) yang pertama di Malaysia Timur.
Menteri di Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kerjasama tersebut dibincangkan semasa lawatan bekas menteri KPPK ke Sabah pada 9 Disember 2019 yang turut melibatkan perjumpaan POIC Lahad Datu dan APEX.
“Kerjasama spesifik kepada minyak sawit mentah (CPO) dan refined, bleached, and deodorized palm oil (RBDPO).
“Dalam hal ini, pihak APEX perlu mendapatkan kelulusan daripada Securities Commission Malaysia (SC) bagi menjalankan perdagangan ini,” katanya.
Khairuddin berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan lisan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) dalam sidang Parlimen Dewan Rakyat, di sini, pada Khamis lalu.
Perjumpaan di Sabah tersebut turut dihadiri oleh wakil Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).
“Turut dicadangkan pada ketika itu ialah penubuhan Free Trade Zone (FTZ) di POIC Lahad Datu sebagai langkah untuk merancakkan lagi urus niaga setelah pewujudan APEX delivery location.
“Walau bagaimanapun, perancangan hala tuju pembangunan POIC Lahad Datu adalah bukan di bawah seliaan Kementerian ini memandangkan ianya adalah di bawah kuasa Kerajaan Negeri,” jelas Khairuddin.
Dalam soalannya itu, Madius meminta menteri KPPK menyatakan langkah-langkah kerajaan untuk memastikan pelabuhan POIC Lahad Datu yang baru mendapat kelulusan sebagai ‘legal landing place’ akan terus berkembang dan maju sehingga menjadikan realiti potensinya menjadi ‘the Rotterdam of the East.