Arthur Kurup
KUALA LUMPUR:Beberapa Indikator semasa telah mula menunjukkan prestasi ekonomi yang lebih baik.
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekomomi, Arthur Joseph Kurup berkata, antaranya ialah yang pertama sektor peruncitan mula menunjukkan pemulihan secara beransur-ansur.
Katanya, bilangan pengunjung di kebanyakan pusat membeli belah utama meningkat antara 35 peratus hingga 60 peratus dan hasil jualan turut meningkat 50 peratus hingga 60 peratus selepas PKP dilaksanakan secara bersasar dengan penambah baikan SOP.
Yang kedua katanya, kadar penginapan hotel di seluruh negara meningkat kepada 24.3 peratus bagi tempoh 29 November 2020 sehingga 5 Disember 2020 selepas PKPB ditamatkan dan aktiviti merentas negeri dibenarkan (8 November hingga 14 November
18.7 peratus).
“Ketiga, harga minyak sawit mentah telah kembali mencecah paras melebihi RM3,000 per tan pada bulan November 2020, iaitu RM3,422 per tan berbanding paras terendah sebanyak RM2,074 per tan pada bulan Mei 2020 dan yang keempat harga getah SMR20 meningkat ke paras tertinggi kepada RM6.33 sekilogram pada bulan November 2020 berbanding RM4.73 sekilogram, iaitu paras harga terendah pada bulan April 2020” katanya semasa menjawab soalan tambahan Senator Datuk Teo Eng Tee @ Teo Kok Chee di Dewan Negara hari ini yang bertanya apakah indikator-indikator utama yang menunjukkan bahawa ekonomi negara dijangka kembali pulih dengan sasaran pertumbuhan sekitar 6.5 peratus hingga 7.5 peratus pada tahun 2021.
Arthur berkata, peningkatan harga komoditi ini akan meningkatkan pendapatan boleh guna pekebun dan rakyat, yang akhirnya akan meningkatkan perbelanjaan dan penggunaan swasta.
Jelasnya, ekonomi negara diunjurkan kembali pulih dengan sasaran pertumbuhan antara 6.5 peratus hingga 7.5 peratus pada tahun 2021.
Ini katanya, sejajar dengan Iangkah proaktif dan “counter-cyclical measures” yang dilaksanakan oleh Kerajaan melalui pakej rangsangan ekonomi, inisiatif Belanjawan 2021 selain disokong oleh pertumbuhan ekonomi global yang diunjur lebih baik iaitu sebanyak 5.2 peratus.