LABUAN: Prihatin dengan keadaan petugas barisan hadapan, Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias menyerahkan sumbangan 250 bakul makanan kepada anggota polis di sini yang diadakan di Dewan Serbaguna IPD Labuan, pada Jumaat.
Bashir berkata sumbangan tersebut secara tidak langsung sebagai tanda penghargaan dan sokongan warga Labuan terhadap anggota polis yang bertugas di barisan hadapan ketika pandemik COVID 19.
“Penyerahan sumbangan ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada anggota Polis yang telah bertungkus lumus mengawal dan menjaga ketenteraman awam bagi memastikan warga Labuan dapat hidup dalam keadaan aman dan selesa khususnya ketika wabak COVID 19 melanda Labuan sehingga Labuan satu ketika hampir lumpuh” katanya.
Sumbangan bakul makanan asas itu diserahkan secara simbolik kepada Ketua Polis Daerah Labuan, Superitendan Ahmad Jawaila yang turut disaksikan oleh Timbalannya DSP Mohd Ibrahim Mohd Ghani dan beberapa anggota polis pelbagai pangkat.
Sementara itu, Ahmad Jawila ketika berucap pada majlis itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Datuk Bashir yang bukan sahaja prihatin dengan petugas barisan hadapan tetapi juga mempunyai tanggungjawab tersendiri terhadap bangsa, agama dan negara.
“Perjuangan YB Datuk terhadap petugas barisan hadapan di Labuan, sudah tidak dapat dinafikan lagi, kesungguhan bukan sekadar melepas batuk ditangga sebaliknya hari ini telah menjadi saksi bahawa kami telah didampingi oleh Datuk semata-mata ingin memberikan sumbangan yang jarang jarang sekali berlaku ditempat lain” katanya.



