OLEH: JAINUDDIN NASIR
LOKASI-LOKASI menarik di daerah Ranau dan Kundasang yang dahulunya penuh sesak dengan pelancong dari dalam dan luar negeri, namun kini lengang berikutan arahan kerajaan menerusi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara ekoran penularan wabak Covid 19 sejak 18 Mac hingga 14 April ini.
Tapak Warisan Dunia Taman Kinabalu, Kolam Mata Air Panas Poring dan Pusat Tagal Ikan Pelian Luanti Baru dan bebaerapa tempat yang lain yang turut lengang kerana lokasi lokasi itu turut ditutup buat sementara sepanjang PKP berkuat kuasa.
Selain itu lokasi seperti Ladang Ternakan Lembu (Tinusu) teletak di Mosilou Kundasang, Tugu Peringatan Perang Dunia Kedua dekat Kedai Sedco pekan Kundasang, Resort Ladang Teh Sabah di Nalapak, Mount Kinabalu Resort & SPA Kundasang, Dream World Resort Mosilou Kundasang, Lohan Eco Range Resort, ‘Walaitokou’ Homestay Kg.Sinisian Kundasang juga ditutup buat sementara.
Yang tidak ditutup ialah, panorama pertanian atau kebun sayur-sayuran segar tanah tinggi Kundasang terletak di kaki Gunung Kinabalu, gunung tertinggi di Asia Tenggara.
Mengikut catatan tidak rasmi, bilangan pengunjung Taman Kinabalu tidak termasuk pendaki Gunung Kinabalu tahun 2017 adalah seramai 33,,489 orang manakala ke Kolam Mata Air Panas Poring mencatatkan jumlah 42,329 orang pelawat dari dalam dan luar negeri. Pusat Tagal Ikan air tawar Luanti Baru pula mencatatkan bilangan pengunjung dalam tempuh 10 bulan pertama 2018 ialah seramai 18,791 orang pengunjung.
Jurucakap Taman-Taman Sabah dan Pihak Berkuasa Tempatan {PBT) Ranau, memaklumkan, selepas PKP, pihaknya akan terus mentransformasikan pelbagai kemudahan serta promosi “Jom Makan Angin Di Ranau dan Kundasang” sebagai inisiatif menggalakkan para pengunjung termasuk pelancong untuk datang ke dua daerah pelancongan itu. Ia juga selaras dengan usaha mempromosikan tempat-tempat menarik di Sabah khususnya daerah Ranau. –TAMAT–