Jamawi (tiga dari kiri) menyampaikan replika cek sumbangan kepada Dr Zulasri (dua dari kanan) sambil disaksikan oleh tetamu jemputan yang lain
TENOM: Program Semarak Ramadan bagi DUN Melalap bertemakan “Semerbak Kasih, Seharum Budi” dilaksanakan sebagai usaha memperkukuh aktiviti keagamaan serta kebajikan masyarakat menjelang bulan Ramadan.
Program itu turut menyaksikan penyaluran sumbangan sebanyak RM20,000 kepada Tabung Badan Dakwah Daerah Tenom.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh ADUN Melalap, Datuk Jamawi Jaafar dan diterima oleh Pengerusi Badan Dakwah Daerah Tenom, Dr Zulasri Pitting yang juga Penolong Pegawai Daerah Tenom.
Selain itu, bantuan untuk Imarah Ramadan turut disampaikan kepada 11 buah masjid, 18 buah surau serta dua madrasah tahfiz dalam kawasan DUN Melalap.
Jamawi yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan berharap bantuan tersebut dapat membantu pengurusan masjid dan surau melaksanakan pelbagai program sepanjang Ramadan termasuk aktiviti ibadah, kebajikan dan pengimarahan rumah ibadat.
Beliau turut menzahirkan harapan agar inisiatif itu memberi manfaat kepada masyarakat setempat serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk.
“Semoga bantuan ini dapat membantu semua masjid dan surau dalam melaksanakan program sepanjang Ramadan,” katanya pada program yang diadakan di Dewan Terbuka Sekolah Agama Negeri (SAN) Chinta Mata di sini hari ini.
Turut hadir, Pemimpin Pembangunan Masyarkat (PPM) DUN Melalap, Denesly Justin.
Selepas program, Jamawi mengadakan ziarah bagi menyantuni keluarga yang kehilangan ahli keluarga, memberikan sokongan moral, serta menzahirkan ucapan takziah dan rasa simpati di Kampung Tuan dan Kampung Pulong.



