26 C
Kota Kinabalu
Isnin, Februari 10, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

BANTU NIAGA COVID-19 MELATIH MAHASISWA UMS MEMBANTU GOLONGAN KOMUNITI PENGUSAHA 

OLEH: Dr. Jurry Foo
Pengarah, Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar, Universiti Malaysia Sabah,
Kota Kinabalu, Sabah.

https://web.facebook.com/pkppumskk

Pandemik COVID-19 telah mempengaruhi banyak sektor termasuk perniagaan yang diusahakan oleh komuniti tempatan. Prihatin dengan situasi tersebut program Siswa Prihatin (SPRINT), kursus kokurikulum BAKTISISWA berkredit Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dibimbing jurulatih kursus tersebut  En. Masran Tamin berjaya melaksanakan program Bantu Niaga COVID-19 Kg. Maang, Penampang, Sabah.

Matlamat program ini ialah untuk (1) membantu komuniti mempromosikan produk jualan mereka, (2) mewujudkan kesedaran masyarakat tentang produk peniaga melalui promosi di media sosial, (3) membantu meningkatkan hasil jualan peniaga dan (4) memanfaatkan perkembangan digital. Manakala hasil pembelajaran mahasiswa melalui program ini adalah lebih kepada tujuan meningkatkan kemahiran insaniah dan mengasah bakat kepimpinan mahasiswa melalui program kemasyarakatan.

SPRINT Bantu Niaga COVID-19 yang diketuai pengarahnya iaitu mahasiswa saudara Pravin A/L Ramakhrisnan adalah berkonsepkan promosi membeli sambil menderma secara dalam talian menerusi laman Facebook dan Instagram (FB: Iklan Jualan Gerai Kg Maang dan IG: @geraikg.maang) yang disediakan oleh mahasiswa kepada komuniti. Program yang diadakan secara langsung menerusi FBLive itu melibatkan aktiviti temuramah khususnya memperkenalkan latar belakang produk tempatan kepada pelayar FBlive dan beberapa aktiviti sampingan lain seperti kuiz.

Pemilihan FBLive sebagai medium penghubung antara pengusaha dengan orang awam dalam mempromosikan produk adalah sangat bertepatan dengan situasi terkini. Selain daripada mendekatkan masyarakat dengan Revolusi Industri 4.0, aplikasi dalam talian mampu meneruskan operasi perniagaan dan pemasaran walaupun tanpa bersemuka. Perniagaan dalam talian juga boleh memperluaskan sempadan atau wilayah perniagaan kerana siaran dalam talian boleh diikuti oleh sesiapa sahaja dan di mana juga walaupun berada di luar kawasan Kg. Maang. Di samping itu ia boleh diakses pada bila-bila masa.

Program ini mendapat maklumbalas positif daripada komuniti Kg. Maang dan para pelayar yang  mengikuti program ini di Facebook. Antara respon yang diberikan ialah ‘Terima kasih kepada pihak UMS dan BAKTISISWA atas inisiatif yang sangat bagus untuk memperkenalkan lagi jualan kami di Kg. Maang’ (Pn. Kathy Ah Ting. Peniaga). Manakala berdasarkan komen orang awam, rata-rata memuji program ini sebagai program yang baik dan memanfaatkan komuniti.

PKPP UMS akan terus membimbing mahasiswa untuk memainkan peranan sebagai ahli masyarakat yang prihatin melalui kepelbagaia program SPRINT yang dicadang, dikendalikan dan dilaksanakan sendiri oleh mahasiswa melalui kursus kokurikulum berkredit yang disertai.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN