22 C
Kota Kinabalu
Khamis, Januari 22, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Bangunan Radiologi dan mesin Hemodialisis baru untuk penduduk di Utara Sabah

JAMES (Tengah) dan yang lain menunjukan tanda bagus kepada MDCT Scanner di Hospital Kota Marudu


KOTA MARUDU: Seramai lebih kurang 200,000 penduduk di kawasan ini akan menikmati perkhidmatan perubatan yang lebih baik dengan adanya Bangunan Jabatan Radiologi serta sebanyak lapan buah mesin Hemodialisis yang baharu.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Sabah merangkap Exco Kesihatan Negeri Sabah, Datuk James Bin Ratib berkata perkembangan tersebut memberi manfaat kepada seluruh penduduk di daerah Kota Marudu, Pitas dan Kudat.

“Hospital Kota Marudu kini menerima peralatan perubatan Multidetector Computed Tomography (MDCT) Scanner, untuk kegunaan Unit Radiologi.

“Ini merupakan satu penambahan penting kepada keupayaan hospital dalam menyediakan rawatan berkualiti tinggi.

“Dengan adanya MDCT ini, akan memanfaatkan kepada seluruh penduduk di daerah Kota Marudu, Pitas dan Kudat yang berjumlah 192,598,” katanya.

Merujuk kepada beban kerja yang direkodkan setiap tahun, James berkata, anggaran pesakit yang memerlukan pemeriksaan CT Scan dan dihantar ke hospital berpakar di Kota Kinabalu adalah berjumlah 1500-1800 orang setahun bagi tiga daerah tersebut.

“Jumlah ini sentiasa meningkat setiap tahun, namun kita bersyukur kerana teknologi ini akan mempercepat dan meningkatkan ketepatan dalam diagnosis, membolehkan pesakit menerima rawatan yang lebih awal dan tepat.

“Ini juga akan menyumbang kepada peningkatan keberkesanan sistem kesihatan kita secara keseluruhan.

“Bangunan baharu Jabatan Radiologi yang dibuka hari ini bukan sahaja menawarkan fasiliti yang lebih moden, tetapi juga menyediakan persekitaran kerja yang kondusif untuk petugas kesihatan dan lebih selesa untuk pesakit,” katanya.

James yang juga Adun Sugut berkata demikian semasa merasmikan Majlis Perasmian Bangunan Jabatan Radiologi – Peralatan Multidetetor Computed (Mdct) Scanner Hospital Kota Marudu serta Majlis Penyerahan Mesin Hemodialisis Bagi Hospital Kluster Zon Kota Marudu yang diadakan di Hospital Kota Marudu pada Isnin.

GIMIK..Penyerahan mesin Hemodialisis kepada Hospital Kluster Zon Kota Marudu yang diadakan di Hospital Kota Marudu pada Isnin.

“Saya amat berbesar hati atas jemputan untuk bersama-sama dalam menyaksikan pencapaian penting ini dalam sektor kesihatan negeri Sabah.

“Ini bukan sahaja satu penghormatan kepada saya, malah mencerminkan kesungguhan kita bersama dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan yang terbaik yang dapat dinikmati khususnya penduduk di daerah Kota Marudu, Pitas dan Kudat.

“Peningkatan infrastruktur kesihatan seperti ini adalah bukti nyata bahawa kerajaan komited dalam memastikan akses perkhidmatan kesihatan yang berkualiti kepada semua rakyat, tidak kira lokasi atau latar belakang,” katanya.

Menurut beliau, pelaburan dalam teknologi moden seperti MDCT Scanner ini adalah langkah ke hadapan dalam menjadikan sistem kesihatan kita lebih mampan dan responsif terhadap keperluan semasa.

Tambahnya, Kerajaan Negeri Sabah sentiasa komited untuk memastikan rakyat Sabah, khususnya mereka yang tinggal di luar bandar, mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih baik dan menyeluruh.

Melalui Skim Bantuan Kesihatan Sabah Maju Jaya (SMJ) – Sabah Sejahtera, katanya, sebanyak 100 unit mesin hemodialisis telah disumbangkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk diagihkan ke hospital-hospital dan klinik di seluruh negeri Sabah.

“Alhamdulillah, dalam majlis ini juga, kita turut menyempurnakan penyerahan mesin hemodialisis, bagi Kluster Zon Kota Marudu, sebanyak 8 unit mesin hemodialisis telah diterima dan diagihkan kepada Hospital Kota Marudu menerima 2 unit, Hospital Kudat menerima (4 unit), dan Hospital Pitas (2 unit).

“Sumbangan ini bukan sahaja menambah kapasiti rawatan di fasiliti kesihatan kita, malah ia memberi sinar harapan kepada pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan hemodialisis secara berkala.

“Dengan adanya penambahan mesin ini, kita berharap senarai menunggu akan dapat dikurangkan dan rawatan dapat diberikan dengan lebih cepat dan selesa,” katanya.

James berkata, inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri Sabah untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dalam aspek kesihatan, seperti yang digariskan dalam pelan pembangunan Sabah Maju Jaya.

“Kita sedar bahawa kos rawatan hemodialisis bukan sahaja tinggi, malah boleh membebankan pesakit dan keluarga mereka, khususnya di kawasan luar bandar.

“Justeru, sumbangan ini diharapkan dapat membantu meringankan beban kewangan mereka dan dalam masa yang sama meningkatkan kualiti hidup pesakit-pesakit yang terlibat.

“Saya percaya dengan komitmen tinggi seluruh warga Hospital Kluster Kota Marudu serta kerjasama erat dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, perkhidmatan yang diberikan akan terus dipertingkan dengan cemerlang dan terbilang,” katanya.

Menurut beliau lagi, majlis tersebut juga merupakan pengiktirafan terhadap usaha gigih semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan projek ini.

Beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan inisiatif ini – Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, dan seluruh warga hospital kluster zon Kota Marudu yang telah memainkan peranan penting dalam pengurusan kesihatan di lapangan.

Turut hadir, ADUN N.5 Matunggong Datuk Julita Mojungki, ADUN N.7 Tandek Datuk Hendrus Anding, ADUN N.1 Banggi Datuk Mohammad bin Mohamarin, Setiausaha Tetap KPMKR Datuk Maria Chong, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan) Sabah Datuk Dr. Abd. Kahar bin Abd. Asis, Pengarah Hospital Kota Marudu Dr. Lydiarita M. Marajin, Ketua Perkhidmatan Radiologi Negeri Sabah Dr. Sumithra Sannasey, Ketua Jabatan Radiologi, Hospital Kota Marudu Dr. Gilbert Sakandar dan lain-lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN