KENANGAN… Walter (tengah) bergambar bersama tetamu yang hadir pada majlis itu
SANDAKAN: Badan-badan NGO berdaftar dipelawa memohon dana atau Geran Perlaksanaan Program Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang disediakan oleh Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR).
Menteri KPMKR, Datuk James Ratib berkata, badan-badan NGO yang berminat mestilah yang berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS) Negeri Sabah atau Jabatan atau Agensi Kerajaan Sabah.
“Bantuan geran ini akan disalurkan kepada mana-mana pemohon (NGO Berdaftar) yang ingin melaksanakan program atau aktiviti selepas memenuhi terma dan syarat yang ditetapkan.
“Antara bidang keutamaan yang akan dipertimbangkan untuk memohon dana ini adalah; yang berhubung kait dengan Pembangunan Keluarga, Sosial dan juga Kesedaran Pengguna.
“Jangan lepaskan peluang ini dan untuk pertanyaan atau maklumat lanjut mengenai Permohonan Geran Pelaksanaan Program NGO ini, pemohon boleh datang sendiri ke kementerian KPMKR atau menerusi link yang disediakan iaitu https://kpmkr.sabah.gov.my/my/orang-awam/e-geran-ngos/,” kata beliau.
James yang juga merupakan Adun Sugut berkata demikian melalui teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap KPMKR, Walter Kenson, sempena Penutupan Program Institusi Ceria Penghuni Bahagia yang diadakan di Rumah Warga Tua Sri Harapan Sandakan pada hari Ahad.
Sementara itu, beliau menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada pihak pengurusan Rumah Wargatua Sri Harapan Sandakan di bawah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah atas inisiatif mengadakan program murni tersebut.
“Syabas dan terima kasih juga saya ucapkan kepada semua pihak yang telah terlibat dalam menjayakan gotong-royong ini yang saya difahamkan melibatkan beberapa jabatan, agensi, NGO serta badan-badan sukarelawan di daerah ini.
“Rumah wargatua adalah sebuah Institusi Kebajikan yang memberi penjagaan dan perlindungan penuh kepada mereka yang menghuninya supaya mereka mendapat penjagaan dan keselesaan dalam suasana selamat, aman dan tenteram.
“Sehubungan itu, program gotong-royong yang telah diadakan ini adalah sangat bertepatan dengan Objektif Program iaitu memulihara, menceriakan dan membersihkan kawasan persekitaran institusi ini demi memastikan keselamatan penghuninya terjamin,” kata beliau.
Selain itu, James menambah bahawa program ini juga menjadi platform terbaik merapatkan silaturahim dengan agensi kerajaan, badan NGO serta kakitangan di institusi berkenaan.
“Saya juga yakin dan percaya, program kemasyarakatan seumpama ini juga mampu memupuk rasa kecintaan dan kebersamaan dalam kalangan diri individu terhadap komuniti yang ada di persekitaran, tanpa mengira perbezaan antara kita.
“Adalah menjadi harapan kita bersama selepas ini, penghuni-penghuni di rumah warga tua di sini akan lebih berasa selesa dan selamat dengan persekitaran yang lebih bersih dan ceria.
“Kita juga sama-sama mendoakan semoga penghuni di Rumah Warga Tua Sri Harapan Sandakan ini sentiasa dianugerahkan kesihatan yang baik, dipanjangkan umur dan sentisa ceria selalu,” jelas beliau.