ADVERTISEMENTspot_img

ATpreneur & UNIpreneur 2025 Pacu Usahawan Muda ke Hadapan – Ewon

EWON ketika melakukan gimik perasmian


KUALA LUMPUR, 29 Julai: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick memuji pendekatan holistik Bank Rakyat dalam menyokong pembangunan keusahawanan negara, bukan sekadar melalui penawaran produk kewangan, tetapi turut memperkasakan golongan muda menerusi latihan, bimbingan dan sokongan strategik yang mampan.

“Program ini telah membuktikan keberkesanannya dalam membentuk ekosistem keusahawanan yang kukuh. RAKYATpreneur kini memasuki tahun kelima sejak dilancarkan pada 2020, manakala UNIpreneur pula memasuki tahun keempat sejak dimulakan pada 2021,” katanya ketika merasmikan program RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur 2025 hari ini.

Setakat Disember 2024, kedua-dua program tersebut telah memberi manfaat kepada 2,633 individu, dengan sumbangan keseluruhan berjumlah RM13.04 juta.

Menurut Ewon, angka itu bukan sekadar statistik, tetapi mewakili kisah kejayaan, perubahan hidup dan aspirasi yang direalisasikan.

Antara kisah kejayaan yang dibanggakan termasuklah Khairul Azril Ahmad dari Melaka, peserta RAKYATpreneur yang memulakan perniagaan dengan hanya sebuah gerai burger. Kini, beliau memiliki bengkel pembuatan makanan sejuk beku jenama D’lima’A’, dengan produk yang telah memperoleh pensijilan HALAL dan MeSTI serta menembusi pasaran di Halal Valet, Plaza Angsana Johor Bahru dan bakal memasuki pasaraya Lotus’s.

“Lebih membanggakan, beliau kini bukan lagi penerima zakat dan telah dinobatkan sebagai Ikon Usahawan Asnaf Melaka 2024 – bukti bahawa keusahawanan mampu mengubah kehidupan,” ujar Ewon.

Satu lagi kisah inspirasi ialah Mohd Nazim Rozlee, pelajar OKU Politeknik Kota Kinabalu yang menyertai program UNIpreneur. Walaupun mempunyai kekangan pertuturan dan pendengaran, beliau berjaya mengusahakan perniagaan makanan dan minuman menerusi gerai ‘Coffee Deaf’. Inisiatif tersebut bukan sahaja membuktikan potensi golongan OKU, malah memupuk kesedaran komuniti terhadap keusahawanan inklusif.

Ewon turut menyatakan komitmen Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam menyokong program berimpak tinggi seperti RAKYATpreneur dan UNIpreneur yang bukan sahaja memperkukuh ekosistem keusahawanan negara, tetapi juga memacu ekonomi yang lebih saksama.

“KUSKOP akan terus bekerjasama dengan Bank Rakyat untuk memastikan lebih ramai usahawan pelbagai latar belakang mendapat manfaat. Usahawan muda perlu menguasai kemahiran asas keusahawanan agar kekal kompetitif dan bersedia menghadapi cabaran pasaran semasa,” jelas beliau.

Beliau turut menyeru agar para usahawan mendaftarkan perniagaan mereka secara sah bagi menikmati pelbagai bantuan dan sokongan daripada kerajaan, termasuk TEKUN Nasional, MARA, Amanah Ikhtiar Malaysia dan institusi kewangan seperti Bank Rakyat.

Mengulas lanjut, Ewon menekankan kepentingan penguasaan teknologi dalam kalangan usahawan. “Pendigitalan bukan sahaja menjadikan operasi lebih cekap, tetapi juga memperluaskan pasaran, khususnya bagi produk luar bandar yang selama ini terhad di pasaran tempatan,” katanya.

Beliau percaya transformasi digital dan kolaborasi antara institusi kewangan, agensi kerajaan, institusi pendidikan dan sektor swasta mampu melahirkan lebih ramai usahawan muda yang bukan sahaja berjaya, tetapi turut menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negara.




ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN