“Usia bukan penghalang, semangat adalah kekuatan sebenar.” – Yuman bin Sikin
RANAU: Semangat juang yang tidak pernah luntur membolehkan atlet olahraga veteran dari Ranau, Uman @ Yuman Sikin terus melakar kejayaan membanggakan apabila muncul antara atlet terbaik negara dalam kategori Masters sehingga dipilih mewakili Malaysia ke Kejohanan Olahraga Masters Terbuka Peringkat Dunia 2026 di Daegu, Korea Selatan.
Atlet kelahiran Kampung Terlobou itu, yang turut diberi penghormatan sebagai salah seorang pembawa obor Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Sabah (MSSS) Ke-58, membuktikan usia bukan penghalang untuk terus bersaing di pentas tertinggi menerusi prestasi cemerlang sepanjang musim 2026.
Minat beliau terhadap olahraga bermula sejak di bangku sekolah apabila muncul juara acara 100 ela pada Kejohanan Sekolah-Sekolah Rendah Daerah Ranau pada 1963 dan 1964, sekali gus menjadi titik permulaan kepada perjalanan panjang dalam arena sukan.
Selepas menamatkan perkhidmatan bersama Jabatan Pertanian, Yuman kembali aktif dalam sukan dengan menyertai Persatuan Olahraga Masters Sabah pada 2015 sebelum mula mewakili Sabah dan Malaysia dalam pelbagai kejohanan peringkat kebangsaan serta antarabangsa.
Tahun ini menyaksikan antara pencapaian terbaik beliau apabila meraih tiga pingat emas dalam acara 60 meter, 100 meter dan 200 meter bagi kategori umur 75 hingga 79 tahun pada Kejohanan Kelab Olahraga Masters Kiulu (SELOPOH) di Stadium Likas pada Mei lalu.
Rentak cemerlang itu diteruskan pada Kejohanan Olahraga Masters Kebangsaan di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang apabila beliau sekali lagi mengungguli acara 100 meter dan 200 meter.
Lebih membanggakan, Yuman memecahkan rekod baharu Sabah bagi acara 100 meter dan 200 meter pada Kejohanan Sabah Masters Athletics Open Championship (SAMOC) 2026, sekali gus dinobatkan sebagai Atlet Terbaik kategori umur 75 hingga 79 tahun oleh Persatuan Olahraga Masters Sabah.
Kecemerlangan itu membuka laluan kepada beliau untuk mewakili Malaysia pada Kejohanan Olahraga Masters Terbuka Peringkat Dunia 2026 yang dijadual berlangsung di Daegu, Korea Selatan dari 21 hingga 31 Ogos ini.
Beliau dijadual beraksi dalam acara 100 meter, 200 meter dan 4×100 meter bersama kontinjen negara.
Mengulas kejayaannya, Yuman berkata sukan bukan sekadar platform memburu kemenangan, sebaliknya medium membentuk disiplin, ketahanan mental dan mengamalkan gaya hidup sihat sepanjang hayat.
“Jangan jadikan usia, kekurangan atau kesukaran sebagai penghalang untuk berjaya. Dengan usaha, disiplin dan kesungguhan, setiap anak muda mampu mengharumkan nama keluarga, negeri dan negara.
“Saya sendiri masih aktif dalam sukan pada usia ini dan ia membuktikan bahawa semangat kesukanan tidak mengenal batas umur,” katanya.
Kisah kejayaan Yuman bukan sahaja menjadi kebanggaan masyarakat Ranau, malah turut menjadi inspirasi kepada atlet muda bahawa dedikasi, latihan berterusan dan semangat yang tinggi mampu membawa seseorang mencapai kejayaan di pentas antarabangsa tanpa mengira usia.- Artikel sumbangan Prof Madya Dr. Jurry Foo



