Amaran larangan masuk kawasan itu telah lama diisytiharkan dan masih berkuatkuasa sehingga sekarang
Mohd Yassin Ibrahim
RANAU: Orang ramai ditegah sama sekali untuk memasuki kawasan tasik bekas lombong Mamut Ranau kerana kawasan tersebut diisytiharkan sebagai tidak selamat oleh Kerajaan Negeri Sabah.
Pegawai Daerah Ranau, Yassin Ibrahim berkata, sebenarnya Kerajaan Negeri Sabah telah mengisytiharkan kawasan tersebut sebagai kawasan larangan atas faktor keselamatan dan kesihatan orang awam.
“Fakta yang nyata ialah kawasan bekas Lombong Tembaga Mamut Ranau yang menakung air berasid. Kandungan air kolam yang bertoksik serta beracun mempunyai kandungan asid yang sangat tinggi.
“Ini menjadikan kawasan berdekatan kolam juga bertoksik. Di samping itu, kawasan tebing kolam tidak stabil, laluan ke kolam mula retak dan dikhuatiri runtuh pada bila-bila masa sahaja.
“Ini lah sebab mengapa orang ramai, termasuk para pemandu pelancong dan pelancong dilarang keras daripada masuk ke kawasan tasik atau kolam bekas lombong Mamut,” katanya kepada media di sini pada hari Jumaat.
Menurut Yassin, terdapat juga aset-aset kerajaan berhubung keselamatan yang perlu dijaga seperti alat Pancar Ulang (Repeater) Polis Diraja Malaysia (PDRM), alat pengesan gempa, alat Meteorologi, selain terdapat tadahan air penduduk kampung berhampiran di sebelah utara kawasan tersebut.
Katanya, amaran larangan masuk kawasan itu telah lama diisytiharkan dan masih berkuatkuasa sehingga sekarang, justeru sebarang aktiviti riadah mahupun pelancongan ke kawasan tersebut adalah dilarang.
Pengecualian hanya diberikan kepada mereka yang terlibat dalam kerja-kerja penyelidikan, Jabatan atau Agensi Kerajaan yang tertentu dan mendapat kelulusan bertulis daripada Pegawai Daerah Ranau yang juga selaku Pengerusi Keselamatan Daerah Ranau selain kebenaran daripada PPHT Daerah Ranau dan pihak polis.
Sementara itu, Yassin turut menegaskan bahawa sebahagian daripada kawasan tersebut juga telah diwartakan sebagai Hutan Simpan dan juga merupakan kawasan larangan.
“Sebagai makluman, papan amaran juga telah didirikan oleh PPHT Ranaudi pintu pagar masuk sebagai peringatan kepada orang awam tetapi telah rosak akibat vandalism,” ujar Yassin.
Katanya, tindakan boleh diambil kepada sesiapa yang melanggar undang-undang Enakmen Hutan 1968, Di bawah Seksyen 20.
Sementara itu, Yassin memberitahu bahawa kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan masih menimbangkan cara terbaik untuk merawat dan menyelasaikan masalah air bertoksik tersebut supaya kehidupan penduduk yang tinggal di sekitar tidak terjejas dari segi kesihatan.
“Sehubungan dengan itu, saya selaku Pegawai Daerah Ranau merayu kepada semua orang awam mahupun masyarakat setempat supaya mematuhi arahan kerajaan untuk tidak memasuki kawasan bekas lombong mamut demi keselamatan semua pihak,” jelas beliau.