KEPTEN (Maritim) Nudin Jusoh….. Pengarah Zon Maritim Labuan.
LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan menahan sebuah kapal utiliti kerana berlabuh tanpa kebenaran dalam satu Ops Khas Bersama yang diadakan pada Khamis.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin bin Jusoh berkata, kapal utiliti bersama 15 anak kapal termasuk nakhodanya ditahan kira kira jam 9.50 pagi Khamis kerana bersauh tanpa kebanaran di Laut Tenggara Manjarasa kira-kira 0. 5 batu nautika dari Labuan.
Beliau berkata, semasa pemeriksaan dilakukan, nakhoda kapal berkenaan gagal mengemukakan sebarang bukti kebenaran berlabuh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia.
“ Kapal berkenaan telah ditaha, manakala nakhoda berserta dokumen kapal dibawa ke Pejabat Zon Maritim Labuan untuk siasatan lanjut” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Katanya, Kes disiasat di bawah Seksyen 419 B, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952. Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

PERIKSA… Penguatkuasa Maritim Zon Labuan ketika melakukan pemeriksaan dokumen keatas kapal utiliti yang ditahan pada Khamis.
Kapten Nudin menjelaskan bersauh tanpa kebenaran serta bersauh di luar kawasan yang dibenarkan merupakan antara kesalahan yang sering dilakukan oleh kapal-kapal komersial termasuk kapal utiliti|.
Justeru itu katanya, Maritim Malaysia mengingatkan kepada semua syarikat perkapalan tempatan dan antarabangsa, terutamanya agen-agen yang menguruskan kapal agar sentiasa mematuhi undang-undang seperti yang telah diwartakan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
Menyentuh mengenai Op Khas Bersama beliau berkata ia merupakan satu inisiatif kerjasama antara Zon Maritim Labuan dengan Jabatan Laut Wilayah Persekutuan Labuan bagi memastikan tiada salah laku atau perlanggaran Undang-Undang Persekutuan Malaysia, terutamanya melibatkan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 di perairan Labuan.
“Maritim Zon Labuan dari masa kesemasa akan terus melakukan pemeriksaan dan penguatkuasaan menjamin keamanan dan keselamatan perairan negara” katanya.



