MEDEVAC…Bot Kilat sedang melakukan pemindahan kecemasan (MEDEVAC) terhadap seorang krew kapal Rig Sapura yang mengidap apendiks yang memerlukan rawatan segera di hospital.
LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Labuan melaksanakan bantuan pemindahan kecemasan (MEDEVAC) untuk membawa seorang krew sebuah kapal yang memerlukan pemindahan segera ke darat selepas mengadu sakit akibat apendiks, pada malam kelmarin.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kapten Maritim Nudin Jusoh berkata, Pusat Operasi Zon Maritim Labuan telah menerima panggilan kecemasan daripada ejen kapal Rig Sapura kira-kira jam 11.35 malam pada Isnin yang meminta khidmat bantuan pemindahan perubatan terhadap seorang krew kapal berkenaan yang menghadapi sakit apendiks dan memerlukan rawatan segera di hospital.

PERIKSA… salah seorang pegawai perubatan sedang menbuat pemeriksaan awal terhadap pesakit berkenaan sebaik dipindahkan ke dalam ambulan
“Maritim Labuan segera menggerakkan Bot Kilat 40 untuk memberikan bantuan kecemasan memindahkan pesakit berkenaan daripada kapal Rig Sapura yang sedang bersauh ke Jeti Zon Maritim Labuan untuk diserahkan kepada petugas kesihatan yang telah sedia menunggu di jeti” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau turut menasihatkan orang awam agar segera melaporkan sebarang kecemasan di laut ke talian 999 hotline MARITIM Malaysia di talian 03-89434001 ataupun ke Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999 atau melalui aplikasi whatsapp di talian 0132558539.