27 C
Kota Kinabalu
Khamis, Disember 5, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Ambil peluang keemasan terhadap industry Pelancongan: Jonathan

Jonathan (tengah) bersama warga Kg Gaur dan Kg Rugading sempena Sambutan Bulan Merdeka dan Hari Sabah di sini baru-baru ini


RANAU: Aktiviti pelancongan adalah sesuatu yang besar, khususnya di daerah Ranau dan ramai pengusaha yang melibatkan diri dalam bidang ini mengaut pendapatan yang lumayan.


Justeru, Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin menyeru para penduduk di sini agar mengambil peluang keemasan ini bagi meningkatkan ekonomi keluarga dan masyarakat mereka dengan menceburkan diri dalam industry tersebut.


“Perlu diingatkan bahawa Pelancongan merupakan suatu industry yang begitu besar di daerah Ranau.
“Banyak venue yang telah membuktikan bahawa pulangan dari industry ini, walau diusahakan secara persendirian tanpa bantuan kerajaan, mampu mengaut pendapatan yang begitu lumayan,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa merasmikan Sambutan Bulan Merdeka dan Hari Sabah yang diadakan di Kg Rugading dan Kg Gaur dekat sini baru-baru ini.


“Sambutan bulan kemerdekaan sudah lama di rancang untuk dilaksanakan di kampung ini iaitu anjuran bersama penduduk di Kg Rugading dan Kg Gaur.


“Keputusan untuk memilih lokasi ini sebagai venue sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini ialah memandangkan kawasan tersebut sebagai satu lagi destinasi pelancongan di daerah Ranau yang kini sedang membangun.


“Kita sengaja memilih tempat ini untuk mengadakan program kerana persekitaran yang segar, cantik dan menarik, walaupun jalanraya ke tempat ini yang merupakan kawasan tempat riadah belum selesai dinaiktaraf sepenuhnya,” katanya.


Menurut Jonathan, mungkin perlu ada satu lagi jalan alternatif yang boleh dibuka untuk sampai terus ke tempat ini bagi mengelakkan jalan raya yang berselekoh-selekoh.


Katanya, cadangan ini mungkin sesuatu yang bagus untuk pelawat-pelawat datang ke tempat ini di masa akan datang sekiranya penduduk di sini mahu menjadikan kawasan ini sebagai kawasan tarikan pelancong yang lebih besar lagi di daerah Ranau.


Jonathan turut menyeru penduduk di sini agar mengambil peluang terhadap pelbagai khidmat dan program yang disediakan oleh jabatan-jabatan serta agensi kerajaan terhadap aktiviti seperti perikanan dan tagal yang boleh dimanfaatkan oleh mereka dalam membangunkan tarikan pelancongan di kawasan ini.


“Tidak dinafikan, jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh, kawasan ini juga suatu hari nanti akan dapat mengaut pendapatan melalui aktiviti pelancongan sehingga mencecah jutaan ringgit, sama seperti beberapa kawasan pelancongan lain yang baru diperkenalkan di daerah ini,” katanya.


Sementara itu, berkaitan sambutan tersebut, katanya, Bulan Kemerdekaan sangat penting bagi seluruh rakyat kerana hari ini, semua dapat menikmati nikmat kemerdekaan yang telah diusahakan oleh pemimpin-pemimpin di masa yang lepas.


“Memang benar bahawa kemerdekaan yang kita sambut memerlukan pengisian yang betul supaya kita dapat memanfaatkan apa erti kemerdekaan itu, khususnya bagi kita di Negeri Sabah.


“Ini kerana kita juga menyambut Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos. Dan yang penting sekarang, kerajaan Negeri Sabah juga telah menjadikan tarikh ini sebagai Hari Sabah.


“Ini sangat relevan dan signifikan bagi kita bahawa kita ada identity diri dalam kita bersama-sama rakan-rakan kita di Semananjung Malaysia yang juga meraihkan tarikh yang sama,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN