Oleh: Boy Bairi
Editor: Aduka Jasnin Suman
RANAU -Menjadi Amanah dan tanggungjawab bagi ibu bapa membuat tabungan pendidikan sebagai persiapan awal anak-anak melanjutkan pelajaran ke menara gading.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N30 Karanaan, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun berkata, budaya menabung untuk anak bukan satu kerugian malah langkah bijak ke arah masa depan pendidikan anak yang lebih terjamin.
Beliau mengambil contoh, menabung di
Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) merupakan pilihan yang bijak berbanding membuat pinjaman melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Jangan fikirkan apa yang kita dapat dengan menabung untuk anak tetapi fikirkanlah kedudukan anak-anak kita pada 10 atau 15 tahun akan datang.
“Ramai anak-anak kita tidak mampu meneruskan pendidikan ke peringkat seterusnya hanya disebabkan masalah kewangan,” katanyanya.
-Masidi Manjun-
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Jelajah SSPN 2019 Peringkat Parlimen Ranau bertempat di Dewan Arena KKBS baru-baru ini yang dihadiri lebih 400 orang terdiri pelajar dan ibu bapa.
Menurutnya, sebahagian besar daripada anak-anak dahulunya meneruskan pengajian dengan bantuan pembiayaan melalui PTPTN, yang kemudiannya menjadi beban hutang kepada mereka.
Justeru katanya, lakukan penjimatan dengan merancang perbelanjaan agar ada sedikit lebihan untuk disimpan dalam tabung pendidikan SSPN.
Masidi yang juga Timbalan Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sabah menyeru kepada pelajar dan ibubapa yang hadir agar dapat menyebarkan kepada masyarakat berkenaan kepentingan dan kebaikan menabung melalui SSPN.
Sebagai galakan, beliau kemudiannya mengumumkan insentif berbentuk sumbangan peribadi kepada mana-mana warga DUN Karanaan dan ahli PPBM Bahagian Ranau dengan tabungan SSPN tertinggi.n

Pada majlis itu, Masidi turut menyampaikan sumbangan daripada PTPTN kepada 40 orang pelajar asnaf daerah ini dalam bentuk deposit akaun SSPN bernilai RM100 setiap orang.
Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan, Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Siti Hamnih Hashim, Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau,Hussin Hj Jirat, mewakili Jonathan Yassin dan barisan kepimpinan tertinggi PPBM Bahagian Ranau.-TAMAT-





