Nur Iman (empat kanan) dan Aina (lima kanan) bersama pelajar UMSKAL.
LABUAN: Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar telah menganjurkan Sesi Perkongsian Ilmu bertajuk “Strategi Bijak Menyediakan Pencalonan & Portfolio Kecemerlangan” bertempat di Bilik Eureka, Menara UMSKAL.
Program yang berlangsung pada Sabtu pagi itu disampaikan oleh Cik Aina Aiza Rosli, seorang Alumni UMSKAL telah mendapat sambutan menggalakkan daripada para pelajar UMSKAL.
Sesi itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kaedah dan strategi menyediakan pencalonan serta portfolio dengan lebih tersusun dan berimpak tinggi.
Antara fokus utama ialah berkongsi pengalaman sebenar perjalanan pencalonan, memberi panduan teknikal pengisian borang, meningkatkan kefahaman terhadap kriteria penilaian, serta membimbing pelajar menyusun bukti pencapaian secara sistematik.
Majlis penutup diserikan dengan ucapan daripada Cik Nur Iman Reedzal, Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar UMSKAL, yang menzahirkan harapan agar para pelajar dapat memanfaatkan ilmu yang diperoleh untuk kecemerlangan akademik dan sahsiah.



