25.5 C
Kota Kinabalu
Isnin, Mei 19, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Aktiviti menjaja setiap Ahad dan Cuti Umum ditutup, kelulusan sementara dibatalkan- Jaiping

Oleh Aduka Jasnin Suman

RANAU: Aktiviti menjaja setiap Ahad dan Cuti Umum di kawasan pembahagi jalan dekat Pasar Terbuka di sini ditutup dan kelulusan sementara dibatalkan.

Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Ranau (MDR), Jaiping Minsu ketika dihubungi media memberitahu, penutupan itu berkuatkuasa serta merta bermula dari tarikh surat dikeluarkan iaitu 28 November 2019.

Jaiping Minsu -Pegawai Eksekutif MDR

Bagaimanapun katanya, pembatalan kelulusan dan arahan penutupan itu tidak melibatkan aktiviti penjualan pada setiap hari Sabtu yang telah mendapat kelulusan sebelum ini.

Menurut Jaiping, penutupan itu dibuat kerana melanggar syarat kelulusan yang telah ditetapkan oleh pihak MDR selain mendapat bantahan daripada peniaga tetap yang menyewa tapak di bangunan Pasar Terbuka, Pekan Ranau.

Surat pembatalan kelulusan dikeluarkan MDR

“Pihak MDR mendapat bantahan daripada Persatuan Peniaga Kecil dan Sederhana (PPKS) Ranau, yang majoritinya menjual  sayur serta pelbagai hasil pertanian dalam bangunan Pasar Terbuka.

“Mereka (PPKS) akur dengan kelulusan pihak MDR yang membenarkan kawasan berkenaan digunakan sebagai tapak memasarkan hasil pertanian serta produk tempatan pada setiap hari Sabtu, namun mereka membantah aktiviti itu dibuka pada hari lain termasuk Ahad dan Cuti Umum kerana menjejaskan pendapatan mereka.

“Faktor keselamatan juga diambil kira kerana laluan dari kedua-dua arah antara pembahagi jalan di kawasan itu tidak ditutup pada hari-hari biasa kecuali hari Sabtu,” jelasnya.

Pasar Sabtu Pekan Ranau

Menurut beliau, MDR ada menerima rayuan daripada pihak tertentu agar mempertimbangkan semula pembatalan kelulusan, namun katanya, keputusan itu adalah muktamad sementara pihaknya mencari inisiatif lain.-TAMAT-

Pamandangan setiap Sabtu di hadapan Pasar Terbuka Pelan Ranau
ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN