Adrian Edy bersama adik Missclyen yang menghidap penyakit Congenital Generalized Hypertrichosis (CGH) sejak lahir.
PAPAR: “Kerja kebajikan yang saya jalankan adalah ikhlas dan lahir daripada kesedaran untuk berkongsi kasih sayang serta rezeki kepada golongan yang kurang bernasib baik,” demikian luahan seorang aktivis masyarakat muda, Adrian Edy, yang aktif menjalankan pelbagai aktiviti kebajikan.
Anak muda berasal dari daerah Papar itu sering mendapat perhatian di media sosial apabila dilihat turun padang menyantuni golongan miskin tegar, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) serta individu yang ditimpa musibah.
Ketika ditemui pada Ahad, Adrian berkata penglibatannya dalam kerja kebajikan bermula sejak tiga tahun lalu hasil dorongan serta didikan ibu bapanya yang sering menasihati beliau agar sentiasa membantu mereka yang memerlukan.
“Ibu bapa saya sering menasihatkan agar sentiasa berbuat baik kepada sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang bangsa, agama atau asal usul. Mereka juga mengajar saya supaya berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan kerana ia merupakan amalan yang mulia di sisi Tuhan,” katanya.
Menurut Adrian, sepanjang tempoh tersebut beliau telah menyantuni pelbagai golongan masyarakat yang hidup dalam serba kekurangan, dan pengalaman itu amat menyentuh perasaannya.
Katanya, terdapat individu yang ditemuinya tinggal bersendirian di kawasan hutan, mendiami rumah yang tidak sempurna serta berdepan kecacatan fizikal yang menyayat hati. Malah, terdapat juga kanak-kanak yang kehilangan kedua-dua ibu bapa akibat penyakit atau kemalangan.
“Jiwa saya sangat tersentuh melihat keadaan mereka. Sukar digambarkan dengan kata-kata, malah ada kalanya air mata mengalir apabila melihat penderitaan yang mereka lalui. Namun saya tetap mendoakan agar mereka sentiasa dilindungi Tuhan dan diberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan,” ujarnya.

Adrian menyampaikan sumbangan bantuan kepada keluarga adik Missclyen di kediaman mereka di Kampung Penan Muslim, Bintulu, Sarawak.
Selain membantu golongan kurang bernasib baik, Adrian turut menjalankan kerja kebajikan di rumah-rumah ibadat seperti surau dan gereja dengan menyalurkan sumbangan berbentuk keperluan asas termasuk meja, kerusi serta peralatan memasak untuk kegunaan komuniti setempat.
Aktiviti kebajikan yang dijalankan beliau bukan sahaja tertumpu di kawasan perkampungan sekitar Sabah, malah turut melangkaui sehingga ke negeri Sarawak.
Menurutnya, pada awal Mac tahun ini beliau berkunjung ke Kampung Penan Muslim di Daerah Bintulu, Sarawak bagi menziarahi seorang kanak-kanak dikenali sebagai adik Missclyen yang menghidap penyakit Congenital Generalized Hypertrichosis (CGH) sejak lahir.
Menurut laporan perubatan, penyakit tersebut merupakan antara penyakit yang sangat jarang berlaku dengan dianggarkan hanya sekitar 50 individu di seluruh dunia yang menghidapinya.
Dalam lawatan tersebut, Adrian turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian serta bantuan kewangan bagi membantu meringankan beban keluarga kanak-kanak berkenaan selain menyokong keperluan persekolahannya.
Beliau berharap lebih ramai individu tampil menghulurkan bantuan kepada golongan kurang bernasib baik tanpa mengira lokasi.
“Saya berharap akan lebih ramai individu bermurah hati tampil membantu golongan yang memerlukan di mana sahaja mereka berada. Pada masa sama, saya juga berharap pihak kerajaan melalui agensi berkaitan dapat terus mempergiat usaha menjejaki golongan ini supaya mereka dapat menerima bantuan yang sewajarnya,” katanya.



