26 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Oktober 12, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Akta Parlimen Berpenggal Tetap masih dalam peringkat kajian

KUALA LUMPUR: Pengenalan Akta Parlimen Berpenggal Tetap masih dalam peringkat kajian terperinci Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Ahli Parlimen, Datuk Seri Panglima Madius Tangau (UPKO -Tuaran) berkata, menteri BHEUU JPM Dato’ Sri Azalina Othman Said memaklumkan, kajian dilaksanakan meliputi kajian impak yang turut mengambil kira pandangan dan hasil sesi libat urus dengan pihak berkepentingan dan orang awam.

“Hasil dapatan kajian yang menyeluruh ini akan digunapakai bagi pertimbangan dasar oleh Jemaah Menteri kelak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Madius dalam Soalan Lisan sempena Persidangan Parlimen Dewan Rakyat di sini meminta perdana menteri menyatakan sama ada Kerajaan bercadang menerbitkan sebuah kertas hijau untuk memudah cara perbincangan yang lebih menepati fakta, tanpa mengikat komitmen kerajaan mengenai pengenalan Parlimen Berpenggal Tetap dan/atau reformasi institusi lain demi memupuk kestabilan politik dalam negara.

Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu berkata, Azalina dalam satu jawapan bertulis memberitahu bahawa Malaysia mempunyai penetapan tempoh Parlimen, iaitu lima tahun seperti mana yang diperuntukan di bawah Perkara 55 (3) Perlembagaan Persekutuan.

“Walau bagaimanapun, Perdana Menteri mempunyai budi bicara untuk meminta Yang di – Pertuan Agong (YDPA) untuk memperkenankan pembubaran Parlimen sebelum penamatan tempoh lima tahun, pada bila-bila masa untuk apa-apa alasan, sekiranya juga dipersetujui oleh YDPA.

“Terdapat banyak negara mengamalkan parlimen berpenggal tetap dengan garis masa yang dipersetujui untuk pilihan raya demi menjamin kestabilan politik dan ekonomi serta menghalang sebarang cubaan rampasan kuasa yang memudaratkan sistem demokrasi berparlimen negara.

“Menurut Azalina, parlimen berpenggal tetap juga boleh memastikan segala agenda reformasi dan polisi dapat dilaksanakan secara berterusan tanpa gangguan,” ujar Madius.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN