KUALA LUMPUR; Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sedang menggubal Akta Koperasi baharu bagi menggantikan Akta Koperasi 1993 [Akta 502] bagi memastikan sektor koperasi negara kekal relevan, berdaya saing dan seiring perkembangan sosioekonomi semasa.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Bendick, berkata akta baharu itu digubal berdasarkan keperluan penyesuaian dasar dan undang-undang agar sektor koperasi mampu beradaptasi dengan kemunculan teknologi baharu serta meningkatkan tahap tadbir urus yang berakauntabiliti.
“Akta 1993 dibangunkan berasaskan kerangka perundangan awal gerakan koperasi negara sejak 1922. Pemerkasaan ini bertujuan memastikan undang-undang koperasi kekal responsif, inklusif dan progresif, selain memperkukuh peranan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebagai badan pengawal selia,” katanya ketika menjawab soalan di Persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, usaha itu juga selari dengan dapatan dua kajian yang dilaksanakan pada 2023 iaitu Kajian Perundangan Berkaitan Koperasi dan Kajian Kekangan Koperasi Sebagai Entiti Perniagaan Dalam Konteks Perundangan.
Menurutnya, akta baharu itu akan memberi perlindungan lebih jelas kepada hak anggota koperasi, menambah baik peranan Anggota Lembaga Koperasi melalui struktur tadbir urus yang lebih tersusun, memperkasa kawal selia serta meningkatkan sumbangan koperasi kepada pembangunan sosioekonomi negara.
“Peruntukan baharu ini juga akan membolehkan koperasi memainkan peranan lebih besar dalam menyediakan peluang pekerjaan, menjana pendapatan komuniti serta menyokong agenda kesejahteraan rakyat. Ia turut membuka ruang liberalisasi perundangan bagi memperluas aktiviti perniagaan koperasi selaras dengan fokus Rancangan Malaysia Ke-13,” katanya.



