Rafie merakamkan kenangan pada persidangan berkenaan.
KENINGAU: Semua ahli Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) BERSATU diseru untuk terus menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Naib Ketua Armada BERSATU Sabah, Rafie Robert berkata, GRS dibawah pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor telah terbukti membantu masyarakat khususnya belia melalui pelbagai inisiatif yang diperkenalkan dan dilaksanakan di negeri ini.
“Walaupun GRS memerintah negeri Sabah selamat dua tahun ketika ini namun pelbagai inisiatif telah diperkenalkan khususnya kepada belia antaranya adalah Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Pendaftaran Institusi Pengajian Tinggi (BUDI), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Aktiviti Guru dan Ibubapa Sabah (BAGUS), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH), Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI), Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA) dan Rumah Mesra SMJ,” jelasnya.
Beliau yang juga Ketua Armada Bersatu Bahagian Keningau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Armada Bersatu Keningau Bahagian P.180 Keningau yang diadakan di Dewan Ficus, Taman Bandukan Riverside Resort, di Keningau, baru-baru ini.
Sehubungan itu katanya, kejayaan melalui pelbagai inisiatif tersebut perlu diteruskan demi kemajuan, kebaikan dan Kemakmuran masyarakat negeri ini.
Oleh itu katanya, Armada diperingkat akar umbi perlu bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum dan terus bekerja keras untuk memastikan kesinambungan dan kemenangan untuk calon GRS dalam PRU ini.