Sebahagian Jawatankuasa Biro Hal-Ehwal Islam pejabat Parlimen Ranau merakam gambar bersama Sapilin (dua kiri).
RANAU: Sempena bulan Ramadan setiap tahun, Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Ranau, yang dikendalikan Biro Hal Ehwal Islam P.179 Ranau, mengagihkan sumbangan berupa wang tunai dan kotak berisi buah kurma kepada Jawatankuasa Masjid, Surau, Rumah Anak yatim, Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan selain Madrasah di kawasan Parlimen berkenaan.
Pengerusi Biro Hal- Ehwal Islam Pejabat Parlimen Ranau, Sapilin Bin Mudin berkata, 40 buah Masjid akan menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM1,000 (Ringgit Malaysia Satu Ribu) berserta dua kotak berisi buah Korma manakala 89 buah Surau akan Menerima wang tunai RM500 berserta 1 kotak berisi buah korma.
Menurut Sapilin, semua sumbangan itu adalah atas keprihatinan Timbalan Menteri II, Kementerian Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin yang dijangka akan turut menghadiri beberapa majlis Berbuka Puasa di kawasan Parlimen Ranau.
“Saya mewakili Jawatankuasa Biro khasnya dan masyarakat Islam di daerah ini amnya, merakam penghargaan dan terima kasih atas sumbangan Datuk Jonathan menyantuni masyarakat Islam
daerah ini”, jelas Sapilin ketika ditemui selepas mempengerusi satu mesyuarat Biro Hal Ehwal Islam Pejabat Parlimen Ranau di Bilik Mesyuarat Pejabat Parlimen itu baru-baru ini.
Beliau memaklumkan, beberapa buah surau yang belum terdaftar sah juga akan turut menerima wang tunai RM500 bersama 1 kotak buah korma.
“Kita akan aktifkan majlis penyerahan sumbangan dalam masa terdekat ini sebaik sahaja siap menyusun jadual penghantaran serta Staf Parlimen bersama para perugas Sukarelawan penghantaran”, tambah Sapilin.



