26 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Februari 24, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Ahli Majlis PBT perlu dekati rakyat – Bung

TEKAD..Bung (tengah) bersama Jafry Haji Mohd Hamsan dan Abd Manap mengambil gambar kenangan selepas majlis angkat sumpah tersebut.

SANDAKAN – Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini diingatkan supaya sentiasa mendekati rakyat.

Timbalan Ketua Menteri 1 Dato Sri Bung Moktar Radin berkata, ia menjadi tanggungjawab setiap Ahli Majlis yang telah dilantik untuk sentiasa mendekati dan berhubung dengan rakyat.

“Kesejahteraan dan keselesaan rakyat perlu dilihat sebagai ‘outcome’ yang dinilai melalui Indeks Prestasi Utama (KPI) Ahli Majlis,disamping membolehkan rakyat mengerti justifikasi seseorang Ahli Majlis itu dipilih.

“Justeru Ahli Majlis perlu komited dan memberikan cerminan yang baik kepada rakyat. Jadikan integriti dengan menggabungkan nilai peribadi yang tinggi sebagai teras utama dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis daerah Kinabatangan di sebuah hotel di sini baru baru ini.

Seramai 18 Ahli Majlis yang dalam kalangan penjawat awam, ahli politik, professional dan wakil dari NGO telah mengangkat sumpah serta menerima watikah pelantikan masing-masing.

Turut hadir, Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Haji Ariffin, Pembantu Menteri II Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Haji Mohd Hamsan Hj Awang Supain dan Pengawai Daerah Kinabatangan Abd. Manap Abd. Ruhim.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, jangkaan rakyat terhadap perkhidmatan Ahli Majlis semakin tinggi dan sudah pasti cabaran yang akan dihadapinya juga akan bertambah.

Bagaimanapun ,beliau yakin cabaran yang bakal dihadapi tidak akan menjadi penghalang untuk Ahli Majlis untuk melakar kejayaan.

Dalam pada itu Bung yang juga Menteri Kerja Raya meminta Majlis Daerah Kinabatangan (MDK) mencari pendekatan baharu dalam meningkatkan hasil majlis melalui percukaian.

Katanya sudah tiba masanya untuk MDK mencari pendekatan baharu dalam meningkatkan hasil percukaian di daerah ini yang mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dan DUN Sukau.

“MDK perlu membuat perencanaan menambah nilai hasil termasuk melaksanakan cukai pintu dalam tempoh setahun ini,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan cukai pintu di daerah Kinabatangan tidak dapat dilaksanakan sebelum ini ekoran dari pelbagai kekangan dan sebagainya.

“Di seluruh dunia ada cukai pintu, di daerah-daerah lain juga telah melaksanakan cukai pintu, tetapi di Kinabatangan sahaja yang belum melaksanakan kutipan cukai pintu,” katanya

Ahli Parlimen Kinabatangan ini juga turut menjelaskan sudah tiba masanya MDK perlu menyelaraskan enakmen dalam Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu sendiri.

“Matlamat kita adalah untuk menyelaras satu perubahan dalam bidang pembangunan, pentadbiran dan mengendali majlis itu sendiri.

“Majlis Daerah merupakan agensi ketiga kerajaan dalam mentadbir dan membangun satu-satu daerah,” katanya.

Beliau berkata peranan serta tanggungjawab ahli-ahli majlis ini perlu proaktif dalam merencanakan pembangunan dan pentadbiran sesebuah daerah itu.

Bung Moktar memberi tempoh tiga bulan untuk ahli-ahli majlis ini untuk merancang pembangunan di daerah Kinabatangan.

Beliau mahu Ahli-ahli Majlis Daerah perlu mengubah cara pentadbiran dari tampok lama ke cara berfikiran baharu bagi merencanakan sesebuah pembangunan.

“Bersama-samalah kita memperbaharui azam dan tekad supaya tugas dan tanggungjawab yang dilaksanakan tidak menyeleweng daripada prinsip memakmurkan daerah dan negeri, disamping mensejahterakan rakyat,”

“Saya mengharapkan agar ahli yang dilantik dapat menyokong agenda pembangunan negeri demi mencapai aspirasi “Sabah Maju Jaya dibawah kerajaan Gerakan Rakyat Sabah (GRS) ,” katanya lagi

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN